Dah berani maki, ugut polis…

No automatic alt text available.

LELAKI lelaki warga Bangladesh ditahan selepas didapati memberi amaran serta mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak polis yang cuba melakukan pemeriksaan ke atasnya di Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, petang semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, lelaki terbabit ditahan anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah selepas tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Arifai Tarawe, berkata ketika ditahan untuk pemeriksaan, lelaki berusia 30 tahun itu gagal mengemukakan dokumen dirinya serta lesen memandu.

“Dia (suspek) sebaliknya mengeluarkan kata-kata kesat serta menyatakan bahawa pihak polis tiada hak untuk melakukan pemeriksaan ke atas dirinya.

“Malah, dia mengugut anggota polis yang menahannya untuk saman dan menahan dirinya atas alasan kononnya semua warga asing diberikan kebebasan daripada diperiksa pihak polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arifai berkata, lelaki warga Bangladesh itu kemudian ditahan dan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Lokap Berpusat Polis Kuala Lumpur di Jinjang untuk tahanan reman.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang tugas polis melakukan pemeriksaan serta Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1953 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

“Mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan boleh ditahan untuk pemeriksaan susulan termasuk warga asing sebelum sesuatu tindakan susulan diambil.

“Sehubungan itu, kami memberi amaran kepada mana-mana warga asing untuk tidak menggunakan alasan kononnya mereka mempunyai imuniti daripada ditahan pihak polis apabila dikesan melakukan kesalahan,” katanya.

Harian Metro Rabu, 7 November 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published.