Cuepacs sokong gaji anggota polis pangkat rendah disemak semula

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Penguasa-penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) menyokong penuh cadangan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador supaya kerajaan menyemak semula gaji anggota polis berpangkat rendah dan menengah.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, langkah itu juga selaras dengan usaha untuk melahirkan perkhidmatan awam yang bersih, cekap serta tidak lagi dibayangi elemen rasuah.



“Apabila keadaan gaji semakin baik kita yakin walaupun anggota polis terpaksa bekerja 200 hingga 300 jam sebulan, tempoh yang cukup lama tanpa kerja lebih masa, meninggalkan kediaman, keluarga yang tidak terurus dan sebagainya ia berbaloi dengan gaji yang diterima.

“Kita harap pendekatan yg dibawa Ketua Polis Negara ini ( Abdul Hamid) satu pendekatan yang sebenarnya hendak melihat maruah negara kita ini terbela.

“Apabila terbelanya nasib pekerja-pekerja ini, di mana gaji mereka yang lebih baik, lebih tinggi selaras dengan gaji yang dibayar di negara-negara maju seperti polis di Singapura, Australia dan United Kingdom (UK),” katanya pada sidang media ketika hadir pada Majlis Sambutan Raya ANULAE di Jalan Raja Bot, di sini hari ini.



Mengulas perkembangan sama, Azih turut meminta kerajaan turut menyemak kembali gaji anggota tentera serta anggota pertahanan negara yang lain.

“Sebagai pasukan yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara gaji anggota tentera dan lain-lain pasukan pertahanan juga perlu disemak kembali,”katanya.

Terdahulu, Abdul Hamid memohon supaya gaji, logistik dan keperluan anggota polis berpangkat rendah diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan integriti pasukan itu.



Katanya, gaji yang diperoleh golongan berkenaan iaitu daripada sarjan ke bawah adalah rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka bertugas di bandar-bandar besar.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mempertimbangkan usaha untuk menaikkan gaji anggota polis berpangkat rendah.

Katanya, beliau akan meneliti perkara itu sebaiknya.

– SINAR HARIAN –