CUBAAN SEBAR FITNAH. PDRM SIASAT PENDEDAHAN AHLI DAP

KUALA LUMPUR: Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan bahawa DAP menghasilkan puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang mengganggu amalan demokrasi berparlimen.

“Kami memandang serius perkara itu kerana ia boleh mengancam keselamatan negara. Mana-mana parti politik yang mahu berkempen, jangan sampai mengganggu keselamatan negara,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas tinjauan mesra pencegahan jenayah Polis Kuala Lumpur di pusat beli-belah MyTOWN di sini, hari ini.

Semalam, Penolong Penerbit UbahTV iaitu laman televisyen rasmi dalam talian DAP, Amran Ahmad, mendedahkan DAP mereka puluhan risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin BN termasuk Perdana Menteri.

Amran yang juga bekas pegawai khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mendedahkan semua bahan propaganda berniat jahat dan berunsurkan fitnah itu sudah siap dan akan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian Rabu ini.

Beliau yang membuat laporan polis di Bukit Aman, semalam, dilaporkan berkata, antara fitnah sedang dan akan terus disebarkan parti pembangkang adalah berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), FELDA dan Tabung Haji, selain menyentuh perkauman, menghina agensi kerajaan, ekonomi, tol dan projek kerajaan lain.

– Berita Harian –

Leave a Reply

Your email address will not be published.