COVID-19: Isteri masuk kedai, suami tunggu dalam kereta

KUALA LUMPUR: Walaupun kerajaan membenarkan dua orang wakil keluarga keluar membeli barang keperluan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat, hanya seorang dinasihatkan memasuki kedai.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mencadangkan suami yang tinggal di dalam kereta ketika di kedai atau pasar raya.

Beliau berkata ia perlu dipertimbangkan oleh semua pihak untuk mengelakkan kesesakan dan tempoh beratur panjang di pasar raya atau kedai.



“Apabila kerajaan menetapkan satu individu dalam satu kenderaan pada fasa PKP sebelumnya, kita menerima banyak maklum balas antaranya isteri tidak boleh memandu dan masalah tempat letak kereta.

“Ketika ini, kita pertimbangkan disebabkan COVID-19 dilihat menurun namun saya percaya ramai yang dibenarkan keluar akan mengekalkan penjarakan sosial

“Apabila ke pasar raya, suami mungkin boleh menunggu di dalam kereta untuk mengelakkan kesesakan dan beratur lebih panjang,” katanya.

– BERITA HARIAN –