Bunuh kucing: Akhirnya dua lelaki dicekup.

GOMBAK – Polis akhirnya berjaya menahan dua daripada tiga lelaki yang diburu kerana membunuh seekor kucing secara kejam dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering pakaian di kedai dobi di Taman Gombak Ria, di sini.

 Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, dua suspek itu ditahan awal pagi tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Menurutnya, kedua-dua suspek ini ditahan sekitar Gombak.

“Bagaimanapun, polis masih lagi memburu seorang lagi suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, polis mendedahkan gambar tiga individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Kejadian Rabu lalu itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai dobi berkenaan dan tular di Facebook sehingga mengundang kemarahan netizen.

Menerusi rakaman 2 minit 50 saat itu, salah seorang suspek yang juga pelanggan dobi berkenaan dilihat memasukkan kucing tersebut ke dalam mesin pengering.

Bangkai kucing dikatakan ditemui dalam keadaan berlumuran darah pada keesokan harinya oleh pelanggan yang mahu menggunakan mesin pengering berkenaan.

– Sinar Harian –

Artikel berkaitan — http://friendsofpdrm.blogspot.com/2018/09/tergamak-sungguh.html
Video — https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2157156111207519&id=770424033013102

Leave a Reply

Your email address will not be published.