Bukit Aman ambil alih kes ‘lebai’ sembah berhala

BAGAN SERAI: Pasukan siasatan dari Bukit Aman akan mengambil alih kes seorang lelaki bukan beragama Islam yang berpakaian seperti ‘lebai’ dan menyembah berhala ‘Datuk Kong’ seperti dalam rakaman video yang tular baru-baru ini.

Difahamkan, suspek berusia 43 tahun yang ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, kira-kira jam 5 petang semalam tidak direman dan akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata siasatan terhadap suspek akan dijalankan pasukan siasatan Bukit Aman.



“Suspek yang berasal dari Tanjung Piandang, Parit Buntar dijangka dibebaskan petang ini selepas beberapa siasatan dijalankan.

Kes ini akan diambil alih pasukan siasatan dari Bukit Aman.

“Kes ini tidak terhenti di sini dan siasatan menyeluruh daripada pelbagai aspek akan diteruskan pasukan siasatan Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.



Harian Metro semalam melaporkan lelaki bukan beragama Islam itu ditahan selepas klip videonya berpakaian seperti seorang Muslim dan menyembah berhala tular di media sosial.

Omar Bakhtiar dalam kenyataannya berkata, siasatan terhadap suspek dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

– BERITA HARIAN –