BUKAN TEMBAK ‘SAJA-SAJA’


Gempar di Sungai Buloh, Selangor apabila empat penjenayah berjaya ditembak mati sepasukan detektif polis selepas berlaku adegan kejar mengejar sejurus selepas mereka menyamun sebuah rumah.

Polis terpaksa menggunakan kekerasan yang maksimum dalam hal ini kerana keempat-empat perompak itu hampir membunuh seorang penunggang Grab dengan melanggarnya sewaktu berusaha melepaskan diri mereka daripada kepungan.

Aku harap janganlah ada pihak yang ‘berbunyi’ lepas ni kononnya polis telah melanggar hak asasi manusialah, itulah, inilah bila ada kes berbalas tembak dengan penjenayah semua ni.

Dalam hal berbalas tembak ini, sebagai wartawan Meja Jenayah, aku takkan lupa dua nama ‘lejen’ iaitu Sarjan (B) Nazaruddin Md Zain atau lebih dikenali sebagai Sabu dan Sub Inspektor Nor Azman Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Man Bongek.


Kedua-dua mereka antara nama besar dalam Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur era 80an dulu.

Sabu, yang juga bekas anggota Unit Tindak Khas (UTK), terlibat dalam berpuluh-puluh pertempuran dan berbalas tembak dengan penjenayah tegar yang pernah bermaharajalela di ibu kota Kuala Lumpur.
Dari bidikan senjatanya saja, ramai penjenayah yang terbujur kaku.

Hampir kesemua penjenayah yang mati di tangan Sabu adalah perompak bank, pembunuh upahan, penyamun kedai emas etc yang lengkap bersenjata api.

“Tembak orang sampai mati bukan kerja yang menyeronokkan tetapi bila penjenayah ini terlalu kejam hingga sanggup membunuh orang awam termasuk anggota polis, kami tidak punya pilihan lain melainkan terpaksa menamatkan riwayat mereka,” kata Sabu padaku.

Untuk rekod, Sabu yang terkenal dengan imej ‘penyamaran’ rambut Afro dan berjambang sewaktu bertugas sebagai detektif dulu, pernah berada di ambang maut apabila cedera parah ditembak di bahagian leher sewaktu bertugas.

Beliau dianugerahkan pingat keberanian kedua tertinggi negara, Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas jasa-jasa dan keberanian luar biasa yang dipamerkannya dalam pasukan.

Begitu juga dengan Man Bongek. Beliau hampir maut ditembak dalam salah satu operasi berbalas tembak dengan penjenayah. Malah sehingga kini, masih terdapat serpihan peluru perompak di dalam tubuhnya.

“Kita bukan ‘trigger-happy’…setiap tindakan yang diambil adalah berdasarkan peruntukan undang-undang dan bukan saja-saja hendak melepaskan tembakan apatah lagi hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Adalah mudah untuk membuat tuduhan melulu kepada pihak polis terutama mereka yang ‘so called’ pejuang hak asasi manusia bila berlaku kes berbalas tembak sebegini tetapi jika kita berada di tempat mereka, nescaya kita akan sedar mengapa orang seperti Sabu dan Man Bongek terpaksa mengambil tindakan sebegini.


Akhir sekali cuba bayangkan, apa perasaan kita sekiranya mereka yang menjadi mangsa kekejaman penjenayah ini adalah keluarga atau diri kita sendiri…adakah kita masih hendak bersimpati pada penjenayah ini?

Tepuk dada, tanya selera.

Oleh – Syahril A. Kadir


(Visited 353 times, 1 visits today)