Bubar 3 pasukan tindakan khas, penstrukturan semula disasar tingkat prestasi PDRM

SERI KEMBANGAN: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan langkah penstrukturan semula Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk pembubaran tiga pasukan tindakan khasnya dibuat untuk menambah baik prestasi pasukan itu selain mengelak pertindihan fungsi unit di dalamnya.

Pasukan khas yang dibubarkan terdiri daripada Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) bertujuan menstruktur semula pasukan ke arah yang lebih baik.

 

“Tindakan PDRM itu selaras dengan usaha kerajaan dalam melakukan pembaharuan kerana kita dapati kalau ada pertindihan fungsi di dalam badan terbabit maka ia (pasukan atau unit) tak wajar diteruskan.

“Kita yakin dengan ‘alignment’ (penyusunan) yang baharu ini, peranan PDRM akan lebih cekap dan berkesan,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan oleh Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga pengasas TSMCG turut menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM50,000 kepada 10 persatuan kebajikan yang memerlukan, antaranya Yayasan Orang Buta Malaysia, Rumah Kebajikan Karunai Illam dan Persatuan Microtia Atresia Malaysia.

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilapor berkata, sehingga kini kira-kira 60 peratus arahan pertukaran kepada pegawai serta anggota pasukan berkenaan sudah dikeluarkan secara berperingkat.

 

Menurutnya pembubaran pasukan itu masih belum selesai sepenuhnya kerana ia tidak boleh dilakukan secara sembarangan serta memerlukan waran untuk melakukan penstrukturan semula.

Sementara itu, mengulas statistik baharu yang dikeluarkan oleh badan penyelidik bebas yang merumuskan rating kerajaan Pakatan Harapan (PH) merosot kepada 39 peratus daripada 79 peratus antara 21 Mei lalu dan 11 Mac tahun ini, Muhyiddin berkata, PH akan mengambil perhatian serius mengenai perkara itu.

“Kita tahu rating tidak berapa baik, tapi masih ada banyak masa untuk kita bangunkan semula kedudukan kita dan meningkatkan prestasi.

“Ada banyak juga yang telah dilakukan kerajaan PH dan kita masih perlu menangani isu serta masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu,” katanya – BERNAMA