Oleh: ISHAM JALIL
Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam mengumumkan bahawa kerajaan akan mengambilalih 4 konsesi tol daripada syarikat Gamuda dengan harga RM6.2 billion.
Ini katanya untuk mengurangkan pembayaran tol oleh rakyat dan ke arah pengambilalihan semua konsesi tol oleh kerajaan pada masa akan datang.
Katanya lagi sebelum ini, dengan pengambilahan ini rakyat hanya perlu membayar tol pada waktu puncak di mana caj kesesakan akan diperkenalkan, dan kadar tol adalah percuma daripada pukul 11 malam sehingga pukul 5 pagi.
Ada sekurang-kurangnya dua perkara yang tidak kena berkenaan pengumuman pengambilalihan tol oleh Menteri Kewangan ini:
PERTAMA, ia bukanlah seperti yang dijanjikan oleh PH dalam manifesto PRU-14 mereka.
Janji ke-6 dalam manifesto PH menyatakan bahawa PH akan:
“Mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat”.
Maksudnya mereka akan merunding, mengambilalih dan membayar pampasan kepada pemegang konsesi untuk MENGHAPUSKAN KUTIPAN TOL.
Manifesto mereka tidak pula mengatakan apa yang mereka sebaliknya buat kini iaitu untuk merunding, mengambilalih dan membayar pampasan untuk menghapuskan kutipan tol hanya pada waktu lengang dan memperkenalkan pula caj kesesakan pada waktu puncak.
Dan “penghapusan tol berperingkat” dalam manifesto mereka jelas membawa maksud menghapuskan tol satu per satu, bukan menghapuskan tol satu per satu pada waktu lengang sahaja.
Jika mereka kini kata penghapusan tol berperingkat ini adalah hapus tol pada waktu lengang, maka jelas sekali mereka cuba untuk menipu rakyat di siang hari atau cuba menipu diri mereka sendiri.
KEDUA, Menteri Kewangan berkata kadar tol baru ini akan memberikan penjimatan RM180 juta kepada pengguna.
Namun demikian, siapakah yang sebenarnya untung dengan penstrukturan semula kadar tol seperti di atas ini?
Sebenarnya hampir semua pengguna tol tidak akan menikmati kebanyakan daripada penjimatan ini sebab hampir semua pengguna tol rutin menggunakan tol pada waktu puncak dan bukannya selepas tengah malam sehingga sebelum subuh.
Lebih 80% daripada kutipan tol harian adalah pada waktu puncak oleh pengguna tol rutin yang menggunakan tol untuk pergi dan balik kerja.
Oleh itu yang untung daripada kadar baru ini kebanyakannya adalah lori-lori perniagaan yang boleh menukar masa pengangkutan mereka ke waktu lengang dan bukannya pengguna rutin biasa.
Pengambilalihan dan penstrukturan semula kadar tol ini tidak lain dan tidak bukan merupakan suatu hiasan tingkap atau “window dressing” sahaja dan percubaan untuk memanipulasi rakyat oleh Kerajaan PH untuk mengelak daripada menunaikan janji mereka yang sebenar.
Sebelum ini Ahli Parlimen DAP dan juga Pegawai Khas Menteri Kewangan iaitu Tony Pua pernah berkata mereka hanya memerlukan RM25 billion untuk mengambilalih kesemua 29 konsesi tol.
Kini mereka menggunakan RM6.2 billion untuk mengambilalih hanya empat tol.
Oleh itu jika ikut pengiraan asal mereka tinggal kurang RM19 billion lagi untuk mengambilalih lagi 25 tol?
Ini tidak masuk akal.
Adakah mereka akan menambah lagi hutang atau menjual lagi aset untuk membuat penstrukturan semula tol ini walaupun kesannya tol masih tidak dihapuskan seperti dijanji dan ianya akan masih membebankan rakyat?
ISHAM JALIL
25 Jun 2019