SHAH ALAM – Pendeposit Tabung Haji (TH) dijangka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan memindahkan simpanan mereka ke pelaburan lain.
Kebimbangan itu disuarakan oleh seorang individu yang pernah bertugas lama dengan TH susulan daripada pengumuman agihan hibah sebanyak 1.25 peratus.
“Kadar hibah yang diumumkan kerajaan itu merupakan agihan terendah dalam sejarah. Pendeposit akan mengeluarkan wang mereka kerana didorong rasa kecewa.
“Mereka menunggu agihan hibah yang munasabah tetapi apabila diumumkan jumlahnya sangat rendah, pendeposit akan berfikir lebih baik mereka meletakkan duitnya di institusi kewangan yang mampu memberi dividen lebih baik seperti ASB (Amanah Saham Bumiputera),” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, apabila pendeposit mula tidak percaya dengan TH dan mengeluarkan wang mereka, kewangan TH akan terjejas.
“Seterusnya TH tidak akan mampu membuat pelaburan berskala besar pada masa akan datang dan agihan hibah pada tahun seterusnya akan terus rendah,” katanya. Bekas petugas TH itu memberitahu, wujud dua faktor mengapa pendeposit menyimpan di TH.
“Satu kerana mahu menunaikan ibadah haji dan ke dua adalah kerana sistem kewangan bersih yang dilaksanakan oleh institusi ini. Setiap tahun zakat akan diuruskan oleh TH dan ada pendeposit yang meletakkan wangnya dengan nilai jutaan ringgit,” katanya.
Semalam, kerajaan mengumumkan agihan hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus melibatkan pengagihan RM913 juta kepada semua pendeposit.
Mengikut rekod, 2012 merupakan tahun tertinggi pemberian hibah Tabung Haji iaitu 6.5 peratus disusuli 2014 (6.25 peratus dan penambatan 2 peratus hibah haji); 2013 (6 peratus dan penambahan 2 peratus hibah haji); 2015 (5 peratus dan penambahan 3 peratus hibah haji); 2017 (4.5 peratus dan penambahan 1.75 peratus hibah haji) dan 2016 (4.25 peratus dan penambahan 1.5 peratus hibah haji).
– SINAR HARIAN –