BENARKAH BUTIRAN RAKAMAN AUDIO SUARA MIRIP MENTERI DALAM NEGERI “SATU SKANDAL”?

1. Hanya orang yang tidak faham Perlembagaan Persekutuan sahaja yang akan mempersoalkan apakah butiran perbualan satu rakaman audio dikatakan suara mirip Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, merupakan “satu skandal”.

2. Berdasarkan transkripsi rakaman audio tersebut, suara mirip Menteri Dalam Negeri kedengaran menyatakan tiga perkara, iaitu:
(a) Ketua Polis tidak lagi boleh memutuskan lantikan mana-mana pegawai polis.
(b) Lantikan pegawai-pegawai polis ini sebaliknya akan diputuskan secara bersesama oleh ahli-ahli Suruhanjaya Pasukan Polis.
(c) Lantikan pegawai-pegawai polis ini juga seelok-eloknya hendaklah disembahmaklum untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.


3. Kesemua perkara ini adalah selaras dengan peruntukan Perkara 140 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa “pelantikan, pengesahan, kemasukan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran dan penjalanan kawalan tatatertib ke atas anggota pasukan polis” adalah berada di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pasukan Polis.

4. Peruntukan Perkara 140 (3) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan bahawa ahli-ahli Suruhanjaya Pasukan Polis ini adalah terdiri daripada:
(a) Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi polis, yang hendaklah menjadi Pengerusi;
(b) Pegawai polis yang memerintah secara menyeluruh pasukan polis;
(c) Orang yang melaksanakan tugas jawatan Ketua Setiausaha Kementerian di bawah Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi polis;
(d) Seorang anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;
(e) Tidak kurang daripada dua tetapi tidak lebih daripada enam orang anggota lain, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.


5. Berdasarkan peruntukan Perkara 140 (3) Perlembagaan Persekutuan ini, ahli-ahli Suruhanjaya Pasukan Polis pada masa ini adalah terdiri daripada:
(a) Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin selaku Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi polis, yang hendaklah menjadi Pengerusi;
(b) Tan Sri Abdul Hamid bin Bador selaku pegawai polis yang memerintah secara menyeluruh pasukan polis;
(c) Datuk Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz selaku orang yang melaksanakan tugas jawatan Ketua Setiausaha Kementerian di bawah Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi polis;
(d) Dato’ Sri Zoal Azha bin Yusof selaku seorang anggota Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong;
(e) Tan Sri Alwi bin Ibrahim, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid bin Ibrahim, Datuk Seri Akhil bin Bulat, Dato’ Sri Mortadza bin Nazarene dan Datuk Sidin bin Abdul Karim selaku anggota-anggota lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

6. Oleh itu, tuduhan liar bahawa butiran perbualan rakaman audio ini merupakan “satu skandal” atau bahawa ia menunjukkan berlakunya “tindakan ingin mencatur pihak polis” adalah satu fitnah jahat. Malah, sebaliknya, suara mirip Menteri Dalam Negeri wajar dipuji oleh semua pihak kerana terbukti mahu membetulkan keadaan sekali gus menegakkan peruntukan Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

7. Tiada sebarang masalah pun jika Suruhanjaya Pasukan Polis menyembahmaklum untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong lantikan pegawai-pegawai polis, apatah lagi bila majoriti ahli-ahli Suruhanjaya Pasukan Polis ini adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Malah, sebaliknya, ini adalah langkah terbaik di dalam membaiki imej pihak polis yang selama ini terjejas kerana percaturan kumpulan kartel.

8. Hanya pihak yang tidak senang dengan usaha mengatasi penguasaan kumpulan kartel dan yang tidak senang dengan Yang di-Pertuan Agong sahaja yang akan mendakwa bahawa butiran perbualan rakaman audio yang menzahirkan perlaksanaan sebenar tanggungjawab Suruhanjaya Pasukan Polis merupakan “satu skandal” atau bahawa ia menunjukkan berlakunya “tindakan ingin mencatur pihak polis”.

Sumber Facebook > https://www.facebook.com/100001022016761/posts/4251806658196693/


(Visited 859 times, 1 visits today)