Bekas polis bergelar Datuk didakwa belasah pelajar

datuk
SHAH ALAM
– Dua pelajar lelaki berusia 17 tahun dibelasah oleh seorang bekas pegawai polis bergelar Datuk, dipercayai akibat salah faham kerana menyangka kedua-dua mereka hendak memecah masuk sebuah rumah.

Bekas pegawai polis yang juga jiran kepada rakan pelajar tersebut dikatakan mengacukan pistol kepada remaja berkenaan yang dikatakan datang ke rumah rakannya itu di Seksyen 7 di sini, untuk mengulang kaji pelajaran namun penghuninya tiada di rumah.

Dalam kejadian tersebut, selain mengacukan pistol, bekas pegawai polis terlibat turut dikatakan melepaskan satu das tembakan ke udara.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, ketika dihubungi mengesahkan menerima tiga laporan berhubung insiden membabitkan dua remaja dan bekas pegawai polis bergelar Datuk tersebut.

“Polis ada menerima laporan polis membabitkan kejadian berkenaan selain membuat penahanan semula terhadap dua remaja berkenaan. Selepas siasatan dijalankan, kedua-dua mereka dibebaskan.
Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 448 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh rumah dan sengaja menyebabkan kecederaan dengan sengaja serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” katanya.

Kejadian itu mendapat perhatian umum selepas beberapa keping gambar serta kisah mereka dimuat naik saudara kepada seorang remaja terbabit sehingga ia tersebar melalui media sosial.
Antara gambar berkenaan menunjukkan dua remaja itu dipaksa meniarap di atas jalan di hadapan sebuah rumah dengan dua lelaki dewasa mengawasi mereka serta gambar kecederaan yang mereka alami.

Sementara itu, dalam laman sosial yang dimuatnaik dipercayai anak kepada pemilik rumah, menyatakan kedua-dua rakannya itu masuk ke rumahnya kerana pintu pagar sudah terbuka namun tiada sesiapa di rumah sebelum jiran mereka menangkap kedua-duanya.
“Pintu pagar terbuka, mereka ingat ada orang di rumah dan selepas mendapati tiada sesiapa, kedua-duanya keluar sebelum ditangkap jiran. Mereka dituduh mencuri tetapi semua ini salah faham,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.