Bayaran fasa kedua BSH dilaksanakan Selasa depan

PUTRAJAYA – Kerajaan akan membuat pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) fasa kedua mulai Selasa depan kepada hampir 3.6 juta penerima di seluruh negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam satu kenyataan berkata, bantuan itu akan melibatkan anggaran peruntukan kewangan sebanyak RM1.42 bilion.

Menurutnya, pembayaran dilaksanakan berdasarkan kategori merangkumi bilangan tanggungan anak dan nilai bantuan yang akan diterima.



“Kadar bantuan yang akan diterima mengambil kira 3.23 juta anak penerima berumur 18 tahun ke bawah kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.

“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Kosmo Online sebelum ini melaporkan, kerajaan telah membuat bayaran BSH fasa pertama sebanyak RM300 kepada 4.1 juta isi rumah dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion pada 28 Januari lalu.

Sementara itu, Guan Eng berkata, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, pembukaan akaun bank pemohon secara automatik akan dilakukan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) berdasarkan persetujuan dan akuan yang terdapat pada borang permohonan BSH 2019.

Menurutnya, untuk memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada individu yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 1 Julai hingga 15 Ogos depan.



“Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada yang tidak layak masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen berkaitan untuk diverifikasi semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada
bsh@treasury.gov.my jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut. – K! ONLINE