DUA personaliti ini berbeza lapangan namun khidmat bakti mereka mendapat sanjungan ramai khususnya di media sosial.
Seorang dalam dalam dunia kepolisian manakala seorang lagi di bidang dakwah serta kebajikan.
Yang pasti, kedua-duanya popular kerana sumbangan besar mereka kepada masyarakat.
Dan hari ini, kedua-duanya bersua muka apabila Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menerima kunjungan hormat Ebit Lew di Johor Bahru.
Menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, Ebit Lew berkata, beliau sangat bersyukur dapat ziarah Ayob Khan, ketua polis yang amat dihormati dan disayangi.
Katanya, setiap hari melihat usaha kuat Ayob Khan bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjuang menjaga negara tercinta.
“Bersyukur dapat ziarah Datuk Ayob Khan. Ketua Polis Johor yang amat saya hormati dan sayangi. Baik dan rendah diri orangnya. Kuat bekerja demi keselamatan negara.
“Rindu nak jumpa Datuk ambil semangat dan kekuatan dalam berjuang. Datuk kata saya yang nak ambil berkat,” kata pendakwah terkenal itu.
Baca artikel berkaitan: “Walaupun diancam, saya tidak pernah masuk ‘gear reverse’ – Ayob Khan
“Terima kasih TMJ, wang sumbangan digunakan beli 500 tablet untuk pelajar” – Ebit Lew
Tambah Ebit, polis dan masyarakat adalah sebuah keluarga.
“Datuk Ayob kata ustaz teruskan usaha yang baik ini. Ustaz telah membawa satu perubahan yang amat besar dalam negara.
“Sebenarnya saya melihat saya cuma usaha kecil berbanding Dato Ayob Khan. Semoga Allah terus memelihara Dato Ayob Khan dan keluarga dan semua anggota.
“Memberi kesihatan dan rahmat serta pertolongannya dalam berjuang menjaga keamanan negara kita. Nikmat kasih sayang dan keamanan ini teramat besar,” ujarnya.
Sementara itu, hantaran tersebut menimbulkan keterujaan dalam kalangan warganet melihatkan dua fugura terkenal ini bersua muka.
Ruangan komen di hantaran itu juga banjir pujian dari netizen yang ditujukan kepada dua personaliti tersebut.
Tidak terkecuali, mereka turut mendoakan usaha dua figura berkenaan sentiasa dipermudahkan Allah SWT selain ada yang mendoakan Ayob Khan menduduki hierarki lebih kanan di Bukit Aman.
“Moga Dato Ayob Khan diangkat Allah menjadi IGP yang seterusnya…,” kata pemilik akaun Azha Salleh.
– Utusan Tv –