(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!


ANCAMAN kumpulan militan yang menggunakan nama Islam untuk menjustifikasikan perjuangan mereka semakin hari semakin membimbangkan.  Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman adalah pihak yang bertanggungjawab memantau, menyiasat dan seterusnya bertanggungjawab bertindak ke atas ahli-ahli kumpulan ini yang cuba menyusup masuk perjuangan dan ideologi mereka ke Malaysia.

Namun di sebalik kerja keras E8 dalam mematahkan banyak percubaan untuk menimbulkan huru-hara dan ketegangan di dalam negara, masih ramai di kalangan rakyat negara ini yang sangsi dan ‘keliru’ dengan apa yang berlaku. Tidak kurang yang menganggap apa yang terjadi hanyalah sandiwara yang sengaja diciptakan.

Wartawan TheRakyat.com, Syahril A. Kadir menemui dan menemubual sendiri Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bagi mendengar penjelasannya mengenai isu ini.
Berikut adalah siri pertama temubual tersebut.

Bagaimana bermulanya kewujudan kumpulan ekstremis dan militan yang menggunakan nama Islam di negara kita?
AYOB:  Pada tahun 1979 berlaku revolusi Islam di Iran. Ada rakyat kita yang melihat perkara tersebut sebagai satu ‘model’ kerana ia menunjukkan pemimpin agama seperti Ayatollah Khomeini juga mampu untuk menumbangkan kerajaan sekular seperti yang dilakukan ke atas kerajaan Shah Iran.

Pada tahun yang sama kita lihat berlakunya pencerobohan tentera Soviet Union di Afghanistan. Ramai rakyat kita waktu itu pergi ke sana untuk berlatih dan seterusnya menyertai peperangan bagi mengusir tentera asing tersebut.

Namun bila kembali ke Malaysia, ada yang mula menubuhkan kumpulan-kumpulan seperti Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Jemaah Islamiyah (JI), Al-Maunah dan lain-lain. Semua kumpulan ini mempunyai elemen berkonsepkan Mujahidin. Mereka berpendapat kerajaan Malaysia ini tidak mengamalkan ajaran Islam dan wajib diguling.

Darah kita halal. Kita dianggap bukan Islam. Mereka anggap kerajaan, parti-parti politik dan agensi yang menyokong kerajaan adalah sasaran yang sah untuk dibunuh.

Tindakan PDRM dikatakan bermotifkan politik dan bertujuan untuk mematahkan gerakan Islam di negara ini, sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut?

AYOB: Bila kita mengambil tindakan (mereka yang melanggar undang-undang), ia dibuat tanpa mengira fahaman atau parti politik. Dulu waktu KMM, memang ada beberapa tokoh politik dari parti tertentu yang memang menyertai KMM. Walaupun parti mereka berjuang mengikut sistem demokrasi, tetapi ada elemen-elemen tertentu dalam parti itu yang tidak mempercayai demokrasi. Mereka mengatakan ‘kita tak dapat mewujudkan negara Islam melalui sistem demokrasi kerana kita sering ditipu’, jadi mereka mengatakan perlu ada satu lagi elemen iaitu elemen militan dalam parti tersebut.

Kita tahu ada pemimpin kanan parti itu sedar tentang kewujudan ahli-ahli mereka yang menyertai KMM tetapi mereka tidak mengambil tindakan dan tidak memberitahu pihak polis.

Bagi saya jelas, kita bukan menentang Islam. Dalam konteks menangani keganasan, kita menentang individu yang mengatakan dia Islam, yang mengaku dirinya Islam tetapi terlibat dalam keganasan. Kita perlu membezakan antara Islam dan individu. Yang kita nak tentang ini bukan Islam, tetapi individu yang tersasar, mereka yang salah menafsir Al-Quran dan hadis.

Mana ada dalam Islam yang membolehkan kita membunuh orang awam atau orang kafir tanpa sebab. Ayat mana? Hadis mana? Tunjuk pada saya. Individu-individu terlibat hanya mengeksploitasikan ayat Al-Quran dan hadis untuk menjustifikasikan tindakan mereka dalam aksi keganasan. Itu yang kita nak tentang!

(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!
 Tidakkah penyertaan rakyat kita dalam misi di Afghanistan dulu adalah satu bentuk jihad kerana mereka menentang pencerobohan negara asing ke atas negara berkenaan dan juga umat Islam di situ?
AYOB: Masa penakhlukan Soviet Union ke atas Afghanistan dulu, banyak kumpulan-kumpulan yang bergerak menentang mereka. Ketika itu, memang jihad. Ia dari tahun 1979 hingga 1989. Namun selepas tentera penceroboh ini berundur, kumpulan-kumpulan mujahidin ini mula bergaduh sesama sendiri.

Lepas tu mulalah muncul Taliban dan Al Qaeda. Bila mereka berjaya dalam peperangan mengusir kuasa besar seperti Soviet Union, mereka ini termasuklah Osama Ben Laden kemudiannya mula mengsasarkan serangan ke negara-negara Islam yang sekular.  Mereka berjaya mengalahkan kuasa besar jadi mereka berpendapat tibalah masanya untuk ‘target’ negara-negara Islam sebegini. Oleh itu mereka mula ‘mengeksport’ ideologi mereka keluar.

Apakah ideologi yang mereka pegang Datuk?
AYOB: Hampir kesemua kumpulan pengganas yang menggunakan nama Islam ketika ini memegang ideologi Salafi Jihadi. Itu adalah fakta! Mereka menolak sistem demokrasi, perlembagaan sekular, sistem pilihan raya, ijmak dan qias, menolak pegangan mazhab, melabel umat Islam sekular sebagai murtad yang wajib diperangi, orang bukan Islam dianggap kafir Harbi yang wajib dibunuh, pihak polis dan kerajaan sekular boleh dibunuh dan harta benda mereka boleh dirampas, menghalalkan darah dan harta orang Islam yang didakwa amal bidaah.

Ada yang tidak bersetuju bila ideologi Salafi Jihadi ini dikaitkan dengan kumpulan pengganas. Apa komen Datuk?

AYOB: Betul, ada orang yang mempertikaikannya tetapi fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada Oktober 2014 sendiri mengesahkan kumpulan ini memegang ideologi itu dan Kertas Putih yang dibentangkan Perdana Menteri pada tahun sama juga juga mengaitkan Salafi Jihadi dengan kumpulan-kumpulan ekstremis ini.

Ini bukan dipegang oleh Daesh saja tetapi juga turut ‘diperbaharui’ oleh Al-Qaeda. Sampai sekarang, kumpulan militan mana yang tak pegang pada ideologi ini, tak ada. Boko Haram, Abu Sayyaf, JI, Darul Islam, Al-Qaeda semuanya mengamalkan ideologi yang serupa cuma pendekatan mereka yang agak berbeza sedikit. Macam Daesh ni mereka agresif, sembelih orang, bakar orang manakala Al-Qaeda pula sasaran mereka berupa kawasan yang mempunyai kepentingan ketenteraan atau tempat-tempat maksiat.

Kalau kita tengok dalam konteks Islam, Salafi ni adalah zaman paling murni dalam Islam iaitu zaman kira-kira 300 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW. Ia adalah zaman sahabat Nabi, Tabi’in (pernah bertemu sahabat tetapi tak pernah bertemu Nabi) dan Tabi’ tabi’in (tak pernah bertemu nabi dan sahabat tapi bertemu dengan tabi’in). Empat imam mazhab kita iaitu Hanafi, Maliki, Hanbali dan Syafie memang hidup dalam zaman tersebut.

Sebab itu bila kita bercakap dalam konteks Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita ni berpegang kepada empat mazhab. Di Asia Tenggara ni kita pegang pada mazhab Syafie, kalau kat India mereka Hanafi, di utara Afrika mereka Maliki manakala di tanah Arab, Hanbali. Kita semua tak ada masalah. Kita ada perbezaan, benda-benda furuq. Mazhab Syafie baca doa Qunut, mazhab lain tak baca, tapi kita tak pernah mempertikaikan antara satu sama lain. Kita meraikan perbezaan dan bukan melabelkan orang.  Perpecahan dan masalah mula muncul bila kita mempertikaikan pegangan antara sesama kita.

Dulu JI selalu melaung-laungkan slogan untuk menubuhkan Daulah Islam Nusantara, adakah konsep yang sama turut diperjuangkan kumpulan militan lain di rantau ini?

AYOB: Konsepnya sama. Kalau dulu dalam JI, mereka adalah gabungan Al-Qaeda. JI diberi tanggungjawab untuk menubuhkan kerajaan Daulah Islam Nusantara yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan beberapa negara lain. Daesh pun nak buat macam tu juga.

Kalau kita tengok Daesh ini, mereka ada di serata dunia. Mereka ada di Nigeria, Mesir, Algeria, dekat sini pun ada. Mereka pun menyimpan hasrat sekiranya berjaya dalam rantau tersebut, mereka nak bergabung dalam satu sistem khalifah. Khalifah mereka itu Abu Bakar al-Baghdadi lah.

Niat itu dengar macam bagus tetapi dalam konteks sekarang, perkara sebegitu tak boleh nak dilaksanakan. Kalau nak buat macam mana yang mereka nak, semua negara Islam kena sepakat dan bersatu padu melantik seorang khalifah. Contohnya melantik Raja Salman sebagai khalifah. Namun semua negara Islam kena bersetuju terlebih dahulu, mereka tak boleh lantik diri mereka sendiri sebagai khalifah.

(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!

Datuk, apa asal usul Daesh ini sebenarnya. Sejauh mana dakwaan ia diwujudkan oleh musah-musuh Islam?

AYOB: Ada beberapa teori dan pendapat yang mengatakan Daesh diwujudkan oleh musuh-musuh Islam. Saya cerita sedikit sejarah Daesh ni. Ia ditubuhkan oleh Abu Musab al-Zarqawi yang menubuhkan Al-Qaeda di Iraq pada 2004. Tujuan dia untuk menentang pendudukan tentera Amerika Syarikat di Iraq.

Apabila Abu Musab terbunuh pada 2006, tempatnya diambil alih oleh Abu Ayyub al-Masri dan nama kumpulan itu ditukar ke Islamic State Of Iraq (ISI). Bila kedua- dua pemimpin ini terbunuh, ia diambil alih oleh Abu Bakar al-Baghdadi dan nama kumpulan ini ditukar pula kepada Islamis State Of Iraq and Syria.

Selepas itu nama kumpulan ini ditukar menjadi Islamic State merangkumi Palestin, Israel, Jordan dan lain-lain lagi.  Kalau orang tengok konsepnya bagus iaitu asasnya untuk menentang tentera Amerika di Iraq. Kemudiannya mereka beralih ke Syria untuk menggulingkan rejim Bashar. Pada peringkat awal Bashar pun menyokong IS sebab IS menentang tentera Amerika di Iraq namun selepas tu IS menentang dia balik.

Kalau kita tengok Abu Musab al- Zarqawi, beliau pernah ditahan tentera Amerika di Iraq. Hampir empat tahun dia dipenjarakan. Dalam penjara lagi Amerika Syarikat nampak dia mempunyai karisma. Contohnya kalau ada pergaduhan atau rusuhan, Abu Musab akan dipanggil dan semua banduan akan patuh pada arahannya.

Sebab itu ada teori mengatakan Amerika Syarikat sengaja membebaskan Abu Musab dan ‘menubuhkan’ Al-Qaeda di Iraq ni untuk kepentingan mereka. Kita tengoklah satu demi satu negara Islam kucar-kacir. Di Syria pun sama. Saya tak mengatakan Bashar itu baik. Kita tahu Bashar ni memang orang yang ‘keras’, dia memang orang Syiah tetapi kalau kita tengok muftinya pula seorang Sunni. Saya pernah pergi ke Damascus, Syria pada 2010 (sebelum berlakunya krisis) kerana nak menghantar suspek Al-Qaeda yang ditangkap di Malaysia untuk balik ke sana. Ketika itu di sana ada banyak masjid Syiah, masjid Sunni, kita boleh pergi sembahyang kat mana-mana masjid pun tak ada halangan namun selepas krisis ini timbul, semuanya hancur!

Baik ini pandangan saya, pandangan saya berasaskan pandangan agamawan juga. Dalam Islam antara kemusnahan kecil dan kemusnahan besar, mana satu yang kita pilih? Dalam konteks Syria ini memang kita akui Bashar ini kejam, tetapi sekurang-kurangnya dia dapat ‘mengawal’ negaranya.

Begitu juga Iraq, memang Saddam Hussein ini ‘keras’ dan kejam orangnya tetapi ternyata dia berjaya mengawal negaranya. Dulu di Iraq, kumpulan minoriti Sunni memerintah kumpulan majoriti Syiah di Iraq. Sekarang apa jadi? Negara itu jatuh ke tangan Syiah. Orang Sunni sekarang ditindas di sana.
Sama juga seperti Libya, Presiden Muammar Ghadaffi memang keras. Namun saya masih ingat masa menuntut di UKM pada tahun 1985, dia boleh hantar dan menaja para pelajarnya ke sini. Sekarang apa yang jadi kat Libya?

Ini yang rakyat Malaysia kena faham, umat Islam kita kena faham. Kita jangan teruja sangat dengan konsep ‘human right’, kebebasan bersuara, semua nak bebas, ini tak betul, itu tak betul. Kalau ini yang kita nak, kita tengoklah apa yang terjadi kat negara-negara Islam. Satu persatu jatuh. Isu-isu sebegini yang dimainkan. Kita ada Majlis Fatwa Kebangsaan, kita ada Majlis Fatwa Negeri…ada fahaman yang tak boleh diamalkan di Malaysia, kita ikut saja. Jangan pertikaikan.

(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!

Temubual eksklusif bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kaula Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2018.

Boleh Datuk komen mengenai rakyat Malaysia yang pergi Syria untuk berjuang dan berjihad di sana?
AYOB: Banyak orang kita kata nak pergi berjihad tetapi realitinya bila sampai wilayah yang dimaksudkan, mereka hanya berbunuh antara sesama Islam. Ada yang dijanjikan untuk berjuang di barisan hadapan, tetapi rupanya hanya diminta jaga stor, cuci tandas dan tukang masak.

Akhirnya mereka sedar, dengar lain tetapi bila sampai benda jadi lain. Nak balik semula ke Malaysia dah jadi payah. Contohnya di Syria, ada 95 orang rakyat kita pergi ke sana ‘untuk berjuang’. Yang balik ada lapan orang. Macam-macam sebablah kenapa mereka balik. Antaranya kata sebab nak dapatkan rawatan, ada yang kata mereka disuruh buat benda lain, bukannya berjuang, ada yang balik untuk melancarkan serangan kat sini.

Di Syria sendiri ada dekat 70 lebih kumpulan, mana satu yang berjihad ni? Dulu yang pergi ke Syria dipimpin oleh Ustaz Lutfi Arifin, dia dulu menyertai Free Syrian Army, bila dia terbunuh, yang ikut dia tu semua pergi join Daesh pula!

Saya tak kata semua kumpulan yang berjuang di Syria tu pengganas. Memang ada kumpulan yang betul-betul mempertahankan orang Sunni, tetapi yang mana satu? Ramai yang tak pasti. Ramai yang tak jelas. Sebab itu orang kata jangan pergi ke sana sebab ia tempat fitnah. Semuanya dah bercelaru.
Ada kumpulan yang disokong Amerika Syarikat, ada yang disokong Iran, ada yang disokong Turki (tetapi sekarang tidak lagi) jadi yang mana satu? Musuh kita siapa sebenarnya kalau pergi ke sana ni, Bashar ke? Amerika Syarikat ke? FSA ke? Tahrir Al Syam ke?
Setakat ini sudah 34 orang daripada jumlah itu terbunuh di sana.

Susah ke rakyat kita yang ke Syria untuk berjuang hendak kembali ke tanah air?
AYOB: Memang sukar.  Dulu pengkalan mereka dekat Raqqa tetapi Raqqa dah jatuh. Sekarang mereka berpengkalan di Abu Kamal, dekat sempada Iraq. Kalau dulu di Raqqa mereka boleh berkomunikasi, internet pun laju tetap sekarang ni makan pun susah, penginapan pun susah. Kena pindah randah bimbang ditangkap.

Pergerakan mereka semuanya kena ada surat. Kalau rakyat kita berhajat nak balik, dari satu wilayah ke satu wilayah yang mereka lalu itu perlu dapatkan surat kebenaran dari ‘amir’ kawasan itu terlebih dahulu.

Dulu mereka siap kena naik mahkamah kalau berhajat nak balik. Kebanyakan rakyat kita yang pergi ke sana dah bakar pasport mereka. Nak balik macam mana? Kecuali kalau mereka dapat berhubung dengan keluarga mereka di Malaysia dan keluarga mereka minta bantuan kita, bolehla.

Contohnya mereka nak keluar melalui Turki, kita bolehlah minta bantuan Turki tetapi mereka kena bergerak sendirilah. Kita memang tak boleh hantar pasukan kita masuk ke Syria kerana keadaan dah tak terkawal di sana. Mereka kena bergerak sendiri sampai ke Iraq ke, Jordan ke, Turki ke, sampai ke negara tersebut barulah kita jemput dan beri dokumen perjalanan kepada mereka.

Nak pergi senang, nak balik payah. Tak tahulah apa nasib 53 lagi rakyat Malaysia yang ada kat sana. Kanak-kanak pun ada.

Kerjasama Bukit Aman dengan agen perisikan asing seperti dengan CIA dilihat ‘kerjasama dengan orang kafir’ dan membelakangi Islam, apa penjelasan Datuk dalam hal ini?

AYOB: Dalam memerangi keganasan ini, kita mempunyai musuh yang sama. Dalam grup-grup Daesh ni mereka bukan kira dah sama ada awak orang Islam ke, orang Budha ke, orang Kristian ke. Kalau menentang mereka, awak adalah musuh mereka.

Isu membelakangi Islam tak timbul sebab kumpulan ini bukan mempejuangkan Islam, kumpulan ini memperjuangkan syaitan! Mereka anggap darah kita halal, andai kata kita tak bekerjasama dengan agensi perisikan Barat pun, darah kita tetap halal bagi mereka. Kita terlibat dalam pilihanraya, darah kita dianggap halal. Kita pergi mengundi, darah kita tetap halal bagi mereka!
(bersambung)

Sumber Artikel –  http://therakyat.com/2018/02/02/bahagian-pertama-darah-rakyat-malaysia-halal-di-mata-pengganas/

Leave a Reply

Your email address will not be published.