(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah

DALAM siri akhir temubual ini, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Antipengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkongsi pengalamannya menggalas tanggungjawab berat menangani ancaman pengganas yang semakin ‘galak’ mencari pengaruhnya di negara ini.

Menurut Ayob, ada harga yang perlu dibayar bila mengetuai sebuah unit yang cukup dibenci pengganas dalam dan luar negara itu.

” Saya mengambil serius setiap ugutan bunuh yang saya terima kerana saya tahu mereka berkemampuan melakukannya. Saya serah pada Allah, kita boleh mati di mana sahaja,” kata Ayob.
Berikut adalah siri kedua temubual eksklusif wartawan theRakyat.com, Syahril A. Kadir dengan Ayob di Bukit Aman baru-baru ini.

Bukan rahsia lagi Datuk sering menerima ugutan bunuh dan dianggap antara orang yang paling diburu oleh militan Daesh di rantau ini kerana usaha berterusan PDRM menangkap pengikut dan penyokong mereka. Antaranya dari Ketua Militan Daesh Asia Tenggara, Muhamad Wandy Muhamad Jedi, yang juga salah seorang salah seorang daripada dua rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam video pembunuhan secara sembelihan di Syria pada 2015. Bagaimana Datuk melihat ancaman demi ancaman yang diterima ini?

AYOB:  Dulu kita para anggota dan pegawai Cawangan Khas tidak ke hadapan, tetapi saya terpaksa ke hadapan. Saya anggap ancaman itu satu cabaran. Saya memang banyak menerima ancaman bunuh terutama dari Wandy. Dia bagaimanapun terbunuh dalam serangan di Syria tahun lalu. Seminggu sebelum puasa lepas saya menerima ugutan daripada anggota Daesh Indonesia pula.

Setiap ancaman ni saya anggap serius. Kita kena hati-hati kerana mereka ada kemampuan. Baru-baru ini kita tangkap seorang pekerja pembinaan dari Indonesia. Dia bawa pisau rambo nak pergi cari sami Budha sebagai nak balas apa yang menimpa masyarakat Rohingya. Dia pergi ke Puduraya, nasib baik dia tak jumpa kalau tak memang dia nak sembelih!

Setiap ugutan yang saya terima saya anggap asam garam sebagai pegawai polis. Kita berjuang bukan untuk diri sendiri tetapi agama, bangsa dan negara. Tugas polis tugas mulia. Kalau saya terlalu takut, saya tak berani keluar, tak berani pergi ke forum, tak berani nak bercakap…macam mana?
Hidup mati kuasa Allah. Yang penting persediaan, kalau takdir kita mati, kat mana pun kita boleh mati. Pergerakan saya memang terhad dan kena selalu berhati-hati. Itulah pengorbanan yang saya perlu hadapi.
(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Ada banyak kumpulan pengganas yang wujud ketika ini yang bukan daripada kumpulan menggunakan nama Islam, adakah mereka ini terlepas dari ‘radar’ Bukit Aman?

AYOB: Ini yang ramai tak faham. Kita dalam konteks menangani keganasan, bukan hanya tertumpu kepada kumpulan mengeksploitasi Islam semata-mata. Kita dah tangkap berpuluh anggota Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), anggota Babbar Khalsa International (BKI) iaitu pengganas Sikh yang terlibat dalam beberapa siri pengeboman di Punjub, India dan banyak lagi kalau saya nak sebut.

Saya nak tegaskan, bukan kerana disebabkan mereka (pengganas) guna nama Islam, kita hanya tumpu pada mereka saja, tidak. Tidak sama sekali. Kerja kami tak membezakan fahaman, agama dan warna kulit. Selagi ada yang mahu mencetuskan sabotaj dan huru hara dengan tindakan keganasan mereka, kami akan buru dan tangkap mereka yang terlibat.
Tiada kompromi dalam hal keselamatan rakyat dan negara.

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Kenapa masih ada anggota masyarakat yang ragu-ragu dengan tindakan polis dalam menangani isu keganasan ini? Mengapa masih ada rakyat yang menganggap operasi yang dijalankan PDRM khususnya E8 tidak lebih dari sekadar lakonan dan sandiwara semata-mata?

AYOB: Dulu dalam konteks ISA, memang kita tak menghebahkan siapa yang kita tangkap. Hanya ahli keluarga dan peguam mereka saja yang tahu. Perbicaraan pula tertutup jadi orang awam tak tahu. Namun bila Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA dikuatkuasakan, kita bawa mereka yang ditangkap ke mahkamah.

Tahun lepas saja kita dah tangkap 369 orang, daripada jumlah itu, seramai 170 orang dah dihadapkan ke mahkamah. Yang disabitkan dengan kesalahan adalah seramai 122 orang. Di bawah Akta Pencegahan Jenayah(POCA) kita tangkap 47 orang. Di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) seramai 28 orang. Yang di bawah Imigresen ada, yang diusir pun ada.

Bila kita tangkap mereka ini, memang kita warwarkan di media tetapi bila kes itu dibicarakan, publisiti mengenainya berkurangan. Sebenarnya kalau orang awam nak tahu, mereka boleh saja pergi ke mahkamah. Pergi ikuti perbicaraan itu. Tiada siapa nak halang. Cuba dengar kat mahkamah, adakah kita ni sandiwara atau bagaimana.

Sewaktu heboh Festival Arak hendak dibuat baru-baru ini, polis menasihatkan penganjur agar membatalkannya. Ini mencetuskan polemik yang hebat kerana ada pelbagai pihak termasuk ahli politik yang membantah kenyataan Ketua Polis Negara, malah polis dianggap cuba untuk menyekat hak orang bukan Islam, apa komen Datuk?

AYOB: Bila Tan Sri Fuzi berkata demikian, ada ahli politik yang mempertikaikan kenyataannya. Malah ada ahli politik yang menuduh PDRM ‘kuda tunggangan’ kerajaan, menghalang hak bukan Islam minum arak. Sudah tentu kita bukan saja-saja nak halang. Buktinya kita berjaya memberkas tiga lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan enam yang disyaki merancang untuk mengebom ‘Better Beer Festival 2017’ di Lembah Klang, dalam serbuan di Kelantan.

Suspek masing-masing berusia 19, 25 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan ke atas sebuah restoran di Pasir Puteh. Dua lagi adalah seorang bekas anggota Tentera Darat (TD) yang juga buruh binaan dan seorang kontraktor binaan. Susulan tangkapan itu, kita melakukan pemeriksaan dan merampas bahan letupan (IED) di rumah dua daripada suspek. Pelajar ini dah buat enam IED.

 Mereka melakukan ujian letupan di satu kawasan lapang menggunakan pelbagai bahan untuk membuat bom. Tiga buah IED telah berjaya diletupkan dalam ujian itu jadi mereka sedang rancang membawa tiga lagi untuk tujuan serangan. Kita siap pamerkan IED yang kita rampas itu dalam sidang akhbar. Ini fakta, bukan rekaan. Dan tiga-tiga mereka dah dihadapkan ke mahkamah, banyak tuduhan yang dikenakan, pergilah dengar sendiri kat mahkamah sama ada betul atau tak betul tindakan kita.

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Boleh Datuk jelaskan apa itu SOSMA, POTA dan POCA? Adakah ia sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan itu?

AYOB: Di bawah tangkapan SOSMA ni dia ada enam prosedur. Antaranya macam mana kita tangkap, berapa lama tempoh remannya, macam mana kita nak gunakan keterangan saksi terlindung dan berbagai lagi. Itu undang-undang prosedur, bila cukup bukti kita akan tuduh di bawah Kanun Keseksaan. Namun kalau bukti itu ada tetapi ia tidak disokong dengan lain-lain elemen, kita akan tahan mereka di bawah POTA atau Akta Undang-Undang Pencegahan Keganasan dan POCA (Akta Pencegahan Jenayah)
Bezanya dalam POTA, hanya suspek yang ditangkap dan mengakui menganggotai kumpulan pengganas yang telah disenaraikan di dalam Seksyen 66B dan 66C Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUA) 2001. POCA pula digunakan ke atas individu yang tidak menyertai mana-mana kumpulan yang disenaraikan.

Jangan samakan POTA, POCA ni dengan ISA. Ia berbeza sama sekali. Jika sebelum ini, ISA mengundang tohmahan bahawa kuasa Eksekutif Menteri disalahgunakan bagi mengeluarkan perintah tersebut, POCA dan POTA memperuntukkan Lembaga Pencegahan Jenayah yang mana ahlinya dilantik khas, untuk membuat keputusan mengenainya.

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah
Berikutan tindakan agresif yang dibuat polis, banyak badan bukan kerajaan (NGO) mula menyatakan kebimbangan untuk menyertai dan menghantar misi bantuan ke negara-negara yang terlibat dalam konflik. Ini kerana mereka bimbang ditangkap atau menjadi ‘perhatian’ Bukit Aman, apa komen Datuk?

AYOB: Memang dulu ada NGO-NGO yang dikesan digunakan oleh kumpulan pengganas untuk membiayai aktiviti mereka. Masa Jemaah Islamiah (JI) dulu, sebanyak 19 buah NGO dan syarikat yang dikesan membiayai kumpulan pengganas ini. Setakat ini kita belum mengesan penglibatan NGO dari Malaysia yang membiayai sumber kewangan kumpulan Daesh. Apapun kita akan teruskan pemantauan mengenainya.

Sebenarnya NGO tak perlu takut nak buat misi kemanusiaan. Sentiasalah rujuk dengan pihak polis. Bukankah banyak NGO yang berada di bawah naungan kerajaan, ikutlah NGO ini. Yang jadi masalah NGO yang pergi secara bersendirian. Kita pun tak tahu siapa mereka dan siapa di belakang mereka. Betul ke dana yang mereka kutip itu pergi ke pihak yang betul atau sebaliknya? Kita bukan nak sekat. Memang menjadi kewajipan umat Islam untuk membantu saudara mereka yang ditindas, bantuan sebegitu itu lebih baik daripada pergi angkat senjata dan buat sesuatu yang kita sendiri tidak pasti situasinya.

Dengan kemajuan teknologi ketika ini khususnya, adakah ia menjadi cabaran E8 untuk menangani isu keganasan ini?

AYOB: Memang itu cabaran besar, bukan saja PDRM tetapi juga semua agensi penguatkuasa undang-undang serta badan risikan seluruh dunia ketika ini. Ambil contoh paling mudah, applikasi Telegram yang sering digunakan anggota-anggota militan ini untuk berkomunikasi atau berhubung antara sesama mereka. Di seluruh dunia ada 50 juta pengguna Telegram, ada satu bilion mesej berlegar, nak pantau macam mana? Itu belum masuk applikasi lain yang berlambak ketika ini. Apapun kita ada cara untuk menanganinya tetapi seperti yang saya katakan tadi, ia bukan kerja mudah. Yang penting, kita kena tingkatkan kerja-kerja risikan.

Kehebatan pegawai dan anggota E8 mula menjadi bualan sejak akhir-akhir ini, apa rahsia kejayaan unit ini?

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah

Temubual eksklusif bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kaula Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2018.

AYOB: Ramai di antara kami bermula dulu sama-sama masa unit ini masih kecil (tahun 1993) sehinggalah ia diperbesarkan. Bukan nak masuk bakul angkat sendiri tetapi saya cukup bangga dengan komitmen dan disiplin yang anak-anak buah saya berikan. Kita diiktiraf hingga ke peringkat antarabangsa.

Pegawai kita dijemput berkongsi pengalaman sampai ke luar negara. Contohnya dalam isu pembiayaan kewangan keganasan, untuk Asia Tenggara ni kita agensi pertama yang buka kertas siasatan berhubung perkara tersebut. Kita dah buka 20 kertas siasatan (IP) mengenainya. Kita jadi contoh. Ada pegawai saya jadi penceramah tetap untuk Interpol!

Satu perkara lagi yang perlu diingat, kalau setakat kami saja tak mungkin kita dapat kejayaan demi kejayaan seperti yang kita capai ini. Unit ini tidak boleh bergerak sendiri tanpa bantuan jabatan lain dalam PDRM. Kami juga dapat bantuan daripada agensi kerajaan selain PDRM. Saya bagi contoh, bila kita perlu buat operasi khas di Sabah, Unit Udara PDRM yang bantu kami dari segi pengangkutan, Esscom pun bantu.

(Bahagian akhir): Saya serah nyawa saya pada Allah

Temubual eksklusif bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kaula Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2018.

Bila berhadapan dengan operasi berisiko tinggi, Unit Tindak Khas (UTK) akan bersama-sama kami. APMM pun bersama kita bila bantuan mereka diperlukan.
Pendek kata walaupun kami ‘core’ dalam tugasan menangani keganasan ini, ia tidak akan berhasil tanpa kerjasama pelbagai pihak dalam PDRM. Ini kerja berpasukan! – theRakyat.com
(Bahagian pertama): Darah rakyat Malaysia ‘halal’ di mata pengganas!

 Sumber: TheRakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published.