AYAH MATI DIBUNUH KOMUNIS, IBU DAN ADIK MATI DALAM KEMALANGAN

PADA 15 Julai 1976, Mejar Zainal Abdul Rashid dan lima anggotanya berjaya mengesan sekumpulan 15 pengganas komunis di Hutan Simpan Ulu Muda, Gubir, Kedah.

Setelah berjaya membunuh dua pengganas komunis, Zainal meluru dengan berani ke arah musuh sambil memberi kata-kata semangat agar anggotanya terus berjuang.

Ketika itulah seorang pengganas wanita yang tercedera dalam pertempuran tadi telah membaling sebutir grenad (bom tangan) ke arahnya.

Zainal meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah. Namun dalam insiden berbalas tembak itu, kumpulan yang dipimpin oleh Zainal telah berjaya membunuh enam daripada 15 orang pengganas dan merampas selaras mortar 60 mm, tujuh pucuk repal, peluru, bom dan peralatan lain.

Setelah kematian Zainal, tinggallah isterinya, Puan Azizah Ismail bersama dua anak kecil mereka, Hazem Shah dan Nurulaini.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, tidak sampai setahun kemudian, Azizah dan Nurulaini pula meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Segamat, Johor.

Maka tinggallah Hazem Shah Zainal, yang baru berusia tiga tahun ketika itu sebagai anak yatim piatu. Dia kemudian dibela oleh datuknya.

Namun semua insiden ini tidak mematahkan semangat Hazem untuk cemerlang dalam pelajarannya hingga berjaya memasuki Maktab Tentera Diraja.

Begitulah kisah Hazem yang kini sudah pun berusia dalam lingkungan 40-an dan seorang ahli perniagaan yang berjaya.

BERIKUT adalah komen Hazem dalam blog bekas juruterbang. xnuripilot.blogspot.com:
” Bismillahirrahmanirrahim..Saya,(Ex-3005760, TJP 57 Divisyen Kadet MTD),(Ex-431505, Divisyen Putera Maktab Tentera DiRaja 7th Form 1 Intake 1986-1990). Untuk makluman Tuan, Alhamdullah sekarang ini saya sudah pun bekeluarga dan mempunyai karier mengikut tahap kebolehan yang tak seberapa setakat ini,Alhamdullilah itulah rezeki saya setakat ini.

” Sepatutnya saya dah “join service” sewaktu di Kadet, atas sebab medical injury saya membuat keputusan utk beralih ke dunia swasta.

” Namun begitu hingga sekarang, tidak dapat saya sangkal bahawa jiwa saya sebenarnya kekal abadi didalam dunia “Hijau”. Kasut; masih kilat tangan,pakaian;masih lagi “sharp”. Susun barang;masih lagi ke kanan lurus; gaya jalan; masih lagi short and sharp..malahan tidur masih lagi mengigau mimpi suasana diperbatasan memakai “complete FSMO siap kena bom, kena tembak pun ada!.

” M16 tu sehingga sekarang kalau tutup mata pun Insyaalah boleh lagi buka dan pasang balik. itulah hakikat yang saya tidak boleh lari dalam kehidupan saya.Motto; Taat Setia, Sentiasa DiHadapan, Kepada Allah Berserah..”

– Mohd Hazeem Shah Zainal

SAK: Malangnya cerita-cerita sebegini tidak menarik minat segelintir anak bangsa yang mahu sejarah komunis diangkat dan dimasukkan dalam teks buku sejarah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.