Awas panggilan daripada SPRM palsu!

Suffian Sulaiman

KUALA TERENGGANU –  Seorang pengurus taman kerugian hampir RM20,000 selepas ditipu sindiket penipuan Macau Scam yang mendakwa dirinya terbabit kes penggubahan wang haram dan penyalahgunaan dadah.

Semasa berada di tempat kerjanya di Gong Badak, Kuala Nerus, wanita berusia 31 tahun dari Marang itu dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek seterusnya mendakwa mangsa dikesan melakukan kesalahan penggubahan wang haram serta penyalahgunaan dadah dan bakal ditahan tidak lama lagi.

Menurut sumber, tanpa mematikan panggilan, talian tersebut kemudian disambungkan ke Bukit Aman sebelum mangsa bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Tuan Hisyam’.

“Lelaki itu kemudian mengarahkan mangsa mengosongkan wang yang ada di dalam akaun bank miliknya dalam kadar segera bagi tujuan siasatan.

“Disebabkan terlalu takut dan terpengaruh dengan semua maklumat palsu itu, mangsa kemudian memberikan nombor akaun bank miliknya beserta kata laluan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa hanya tersedar dirinya ditipu selepas mendapati rekod akaunnya berlaku beberapa transaksi tanpa pengetahuannya melibatkan jumlah keseluruhan RM20,000.

“Terkejut dengan rekod transaksi itu, mangsa terus membuat pemeriksaan lanjut sebelum dimaklumkan pihak bank yang dia ada membuat transaksi ke sebuah akaun bank tidak diketahuinya.

“Yakin dirinya sudah masuk ke dalam perangkap sindiket penipuan, mangsa terus membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

– Sinar Harian –

Leave a Reply

Your email address will not be published.