ASP Muru ikon kecemerlangan

 

ASP Murusegesu A/L Thengavellu antara pegawai yang berpengalaman luas dalam PDRM dari sudut perundangan. Kini beliau berumur 53 tahun, ayah kepada 3 anak ini memasuki PDRM pada 1987 dengan mengikuti kemasukan peringkat konstabel dan menimba pengalaman di balai polis dengan menjalankan tugas am.

Berbekalkan keazaman dan nilai terpuji pada tahun 1998, beliau mengorak langkah dengan Kenaikan Pangkat Secara Lantik (KPSL) – Inspektor bagi permulaan sebagai Pegawai Kanan Polis. Beliau pernah bertugas di Cawangan Khas setelah menamatkan latihan asas peringkat Inspektor dan di Jabatan Siasatan Jenayah sehingga kini.

Menyorot kecemerlangan beliau yang kini menjawat jawatan sebagai Pegawai Turus D5 (Siasatan dan Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, kecemerlangan terselah sejak peringkat permulaan dalam pasukan. Beliau merupakan Pelatih Terbaik Undang-Undang, Kursus Asas Konstabel Siri 1/1987.

Tidak terhenti di situ, beliau sekali lagi dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik (Akademik), Kursus Asas Inspektor siri 2/1998 (KPSL). Kecemerlangan beliau semakin terselah dengan dinobatkan sebagai Pegawai Pendakwa Terbaik PDRM tahun 2009.

Dengan ilmu pengetahuan yang dan pengalaman, beliau merupakan antara watak di sebalik tabir dalam mengkaji kes-kes termasuk kes-kes yang menarik perhatian di Kontinjen Pahang bagi mengukuhkan siasatan berkualiti untuk pendakwaan.

Apabila ditanya, apakah rahsia disebalik kecemerlangan berterusan, beliau mengatakan kerja ikhlas dan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam tugasan yang dilaksanakan.

Ternyata, komitmen dan keikhlasan beliau dalam menjalankan amanah yang diberikan menjadikan beliau sebagai pegawai kanan polis yang menjadi contoh dan boleh dijadikan ikon kepada PDRM dan merupakan aset yang tidak ternilai bagi PDRM.

Tahniah ASP Muru dan semoga terus cemerlang.