Warning: Undefined variable $post_id in /home/isuviral/public_html/wp-content/plugins/facebook-thumb-fixer/output-logic.php on line 4

ASP Joeking nafi panggil anggota PGA bodoh

RCI WANG KELIAN l Seorang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terlibat mengetuai operasi meninjau dan menahan pendatang asing dalam kes penemuan penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis menolak dakwaan beliau memanggil anggotanya yang menangkap warga asing sebagai ‘bodoh’.

Komandan Kompeni B, Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) ASP M Joeking Anthony berkata beliau tidak percaya ungkapan itu akan dilontarkan oleh mana-mana ketua termasuk dirinya jika anggota dibawah seliaan mereka berjaya menahan pendatang tanpa izin yang menceroboh negara.

“Kalau saya dimaklum tentang tangkapan, buat apa saya nak marah, saya mesti suruh buat laporan polis,” katanya di hadapan tujuh panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria di Putrajaya hari ini.



Joeking, saksi kelima yang dipanggil semula pada prosiding yang memasuki hari ke-12 hari ini, berkata demikian susulan kenyataan anggota PGA Koperal Mat Ten yang mendakwa dimarahi dan dipanggil bodoh oleh Joeking selepas bertindak menahan enam pendatang asing pada malam 19 Januari, hari yang sama mereka melakukan operasi di Bukit Wang Burma yang menyaksikan 38 warga asing ditahan.

Perkara itu ditimbulkan oleh Ariffin kepada Joeking susulan kenyataan yang dibuat Mat Ten, saksi pertama yang dipanggil semula memberi keterangan pada sesi prosiding yang diadakan secara tertutup sebelum ini.

Menurut Ariffin, Mat Ten memaklumkan panel bahawa pada malam 19 Januari 2015 itu, dia menemui warga asing di sebatang jalan semasa dalam perjalanan balik daripada mengisi minyak motosikal di sebuah stesen minyak di Wang Kelian.

Arifin turut membacakan keterangan Mat Ten kepada RCI sebelum ini : “Masa balik tu saya (Mat Ten) jumpa lebihan orang asing seramai enam orang sedang jalan kaki. Saya panggil land rover untuk bawa ke balai. Tapi Joeking cakap awak betul-betul bodoh. Kenapa cari orang itu.”



Ariffin membangkitkan perkara itu setelah mendapati kenyataan Joeking sering bertentangan dengan majoriti saksi lain, antaranya mempertikaikan kesahihan kenyataan yang ditaip sekretariat RCI selain menganggap kenyataan saksi lain bahawa dia sering kelihatan di Wang Kelian dan Danok, Thailand ketika di luar waktu tugasan sebagai tuduhan palsu.

Sebelum itu, Timbalan Pengerusi RCI Tan Sri Norian Mai yang juga bekas Ketua Polis Negara membangkitkan kenyataan saksi lain bahawa Joeking sentiasa berada di dua kawasan tersebut ketika beliau tidak ditugaskan di kawasan berkenaan yang menurutnya boleh menimbulkan pelbagai persoalan.

Norian berkata beliau sudah menjangka Joeking akan memberikan jawapan ‘ini semua tuduhan palsu’ berhubung persoalan yang dibangkitkannya.

Dalam pada itu, Joeking sekali lagi menegaskan yang dia tidak pernah memberikan taklimat mengenai penemuan struktur tanah berbentuk kubur di Wang Kelian dalam Mesyuarat Bulanan bersama Ketua Polis Negeri pada 20 Januari 2015 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.



“Pada ketika itu, saya cuma beri taklimat mengenai struktur khemah berwarna biru dan jambatan gantung,” katanya.

Beberapa saksi sebelum ini termasuk Timbalan Ketua Polis Perlis ketika itu, Mat Zukir Mat Isa memaklumkan Joeking sendiri memaklumkan penemuan struktur kubur itu dalam mesyuarat berkenaan.

Selain Joeking, dua lagi saksi turut memberi keterangan hari ini iaitu Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Perlis Monica Joseph Gaisah dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah D10, Makmal Forensik PDRM SAC Azhari Abd Rahman.

RCI bersambung semula esok dengan prosiding akan dijalankan secara tertutup.

– Bernama



(Visited 135 times, 1 visits today)