Anggota polis meninggal dunia selepas solat

ALOR SETAR, 10 Jun (Bernama) — Seorang anggota polis berpangkat sub inspektor meninggal dunia sebaik selesai menunaikan solat maghrib di Masjid Al-Wajdi Bukit Selambau, dekat Kuala Muda, malam tadi.

Anak Allahyarham, Siti Nuraida, 32, berkata bapanya Fadzil Ahmad, 60, menghembuskan nafas terakhir selepas tiba-tiba rebah kira-kira 7.45 malam.



Katanya, Allahyarham singgah di masjid itu untuk menunaikan solat ketika dalam perjalanan ke rumah mereka di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik selepas pulang beraya di kampung di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

“Arwah sebelum itu menghadiri majlis kenduri kahwin bersama adik bongsu saya, Muhammad Syafiq, 20, di Sungai Petani dan mengadu sakit dada dan sesak nafas selepas pulang dari kenduri, namun keadaannya ketika itu baik,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, ketika menunaikan solat maghrib bapanya masih boleh menunaikan kewajipan itu sehinggalah dia kembali mengadu sakit dada ketika imam membacakan zikir sebelum arwah rebah dan meninggal dunia.



Siti Nuraida berkata bapanya ketika ini sedang bercuti dan akan bersara pada 14 Julai ini dan banyak menghabiskan masa menunaikan solat berjemaah di surau IPD Sik.

Katanya, arwah juga antara yang bertanggungjawab melaungkan azan sepanjang Ramadan lalu dan amat disenangi masyarakat sekeliling.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor, Pulau Pinang kira-kira 11.30 pagi tadi.

— BERNAMA



(Visited 52 times, 1 visits today)