Anggota polis maut dirempuh lori

Anggota polis maut dirempuh lori

BATU PAHAT – Seorang anggota polis berpangkat sub inspektor maut selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam satu kemalangan petang, semalam.

Mangsa, Say’on Surat, 57 yang pernah bertugas sebagai Ketua Polis di Balai Parit Sulong,  maut apabila kereta dipandunya dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Allahyarham yang kini bertugas di Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kemalangan di simpang Jalan Mustaffa, Parit Sulong, Batu Pahat itu dipercayai berlaku selepas kereta dipandu mangsa bertembung dengan sebuah lori tiga tan yang tiba-tiba memasuki laluan mangsa.

“Pemandu lori berkenaan kini ditahan bagi membantu siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang, di sini, malam tadi.

– SINAR HARIAN – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.