Anggota polis diberkas susulan penemuan mayat di belakang rumah

BATU PAHAT: Seorang anggota polis ditahan selepas mayat seorang lelaki ditemukan ditanam di belakang rumahnya di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Azhan Abdul Halim, berkata penemuan pada jam 5.30 petang itu adalah susulan laporan polis mengenai kehilangan seorang lelaki berusia 37 tahun pada 18 Mac lalu.

Laporan polis berhubung kehilangan Zulkifli Musa itu dibuat oleh isterinya selepas lelaki itu tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Tambak di sini selepas keluar pada jam 9 malam, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Azhan berkata bertindak atas maklumat sepasukan polis ke lokasi dan membuat pemeriksaan di rumah suspek sebelum menemukan timbunan tanah merah di belakang rumah itu.

“Pemeriksaan lanjut menemukan mayat dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang, ditanam di situ,” katanya.

Beliau berkata suspek berusia 38 tahun itu didapati positif dadah jenis metamfetamina dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA