Anggota PGA lepaskan tembakan elak dilanggar

KOTA BHARU: Lima das tembakan dilepaskan terhadap sebuah kereta yang cuba melanggar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di pintu sempadan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Rantau Panjang, hari ini.

Tembakan dilepaskan anggota PGA Batalion 7 pada jam 1.45 pagi di pintu 2 CIQ bagi mempertahankan diri.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hasan, berkata ketika kejadian lima anggota PGA sedang bertugas mengadakan rondaan di kawasan sempadan.

Katanya, ketika rondaan di pintu 2 CIQ, dua kenderaan dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.
“Polis menahan dua kenderaan itu untuk pemeriksaan.

Ketika anggota mahu melakukan pemeriksaan, pemandu sebuah kereta itu bertindak melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan dan cuba melanggar empat anggota PGA yang berada di belakang kereta.

“Disebabkan pemandu bertindak agresif, anggota PGA mempertahankan diri dengan melepaskan lima das tembakan ke arah tayar kereta.
“Sebaik tembakan dilepaskan, suspek memecut laju kenderaan mereka dan semua suspek berjaya melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis sedang mengenal pasti identiti suspek dan kenderaan mereka menggunakan cermin gelap.

Katanya, pada masa yang sama pihaknya berjaya mengenal pasti nombor pendaftaran kereta yang didaftarkan di utara tanah air.
– BERITA HARIAN – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.