Warning: Undefined variable $post_id in /home/isuviral/public_html/wp-content/plugins/facebook-thumb-fixer/output-logic.php on line 4

Anak konstabel polis bakal Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Hamid Bador, yang dilahirkan pada 7 Ogos 1958, di Kuala Lumpur, adalah anak kepada seorang konstabel polis, Allahyarham Bador Ijoh, yang membesar dalam suasana kerap berpindah-randah.

Beliau bersama sembilan adik-beradik dan ibunya yang juga seorang suri rumah berketurunan Cina, mendiami berek polis di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur; Balai Polis Serendah (Rawang); Balai Polis Jerantut (Pahang); Balai Polis Tampin (Negeri Sembilan).

 

Disebabkan tugas bapanya itu, Abdul Hamid terpaksa berpindah sekolah bermula dari Sekolah Rendah Inggeris (Sekolah Rendah Sinaran Budi) di Rawang, Selangor, pada 1965 sebelum menyambung darjah dua di Sekolah Rendah Inggeris, Jerantut Pahang, dari 1966 hingga 1970; Sekolah Menengah Sulaiman, Bentong, Pahang (1971-1976); Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin, Negeri Sembilan pada 1977.

Selepas menamatkan persekolahan, Abdul Hamid kemudian bekerja sebagai pelayan dan penyambut tetamu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, dari 1977 sehingga 1979.

Beliau mula menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Pelatih, pada 4 November 1979 sebelum ditempatkan di Cawangan Khas Bukit Aman, bermula 1980 hinggalah 1996.

Pada 1999, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, sebelum kembali ke Cawangan Khas, Bukit Aman pada 2001, seterusnya dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas, Polis Kontinjen Kelantan pada 2005.

 

Setahun selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Cawangan Khas, Polis Kontinjen Sabah sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, pada 2009.

Beliau kemudian ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 18 Ogos 2015 sebelum dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas, tidak lama selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan.

Abdul Hamid mula mendapat perhatian pada 2015 apabila mendedahkan ada pihak tertentu menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain mendesak siasatan secara telus semasa menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam PDRM, pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa Indonesia melumpuhkan kegiatan pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas DAESH.

 

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) baharu.

Perdana Menteri berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah menandatangani surat pelantikan Abdul Hamid.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Abdul Hamid dilantik sebagai KPN secara kontrak, bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

Muhyiddin berkata pelantikan Abdul Hamid dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang kepolisan.

– Berita Harian –



(Visited 217 times, 1 visits today)