GEORGETOWN: Sekurang-kurangnya 10 individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian amuk oleh seorang lelaki di sebuah kilang dekat Bayan Baru, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A Anbalagan, berkata mereka terdiri daripada ahli keluarga, rakan sekerja suspek dan mangsa selain saksi lain yang berada di lokasi pada hari kejadian.
Katanya, setakat ini pihaknya belum mengenal pasti motif sebenar kejadian dan siasatan lanjut masih dilakukan dengan mengambil kira semua aspek termasuk dakwaan lelaki itu sudah lama menyimpan dendam terhadap mangsa.
“Setakat ini, kita belum dapat merungkai motif sebenar kejadian tetapi, apa yang kita tahu suspek mengalami masalah kemurungan, seorang yang pendiam dan tidak bercakap dengan sesiapa sejak beberapa bulan lalu.
“Lain-lain elemen masih dalam siasatan. Kita akan lihat dari semua sudut sebelum boleh membuat sebarang kesimpulan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau berkata, siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, lelaki berumur 25 tahun dan bekerja di kilang terbabit mengamuk dalam kilang serta menetak penyelia wanita dan pengurus keselamatan menggunakan parang.
Penyelia wanita berumur 47 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan terutama di kepala, manakala pengurus keselamatan berusia 53 tahun berada dalam keadaan stabil.
Suspek turut maut ditembak mati polis selepas dia cuba menyerang anggota yang sebelum itu sudah memintanya bertenang dan menyerah diri, tetapi enggan berbuat demikian.
Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian termasuk menyebarkan maklumat tidak benar atau yang tidak mendapat pengesahan daripada polis kerana ia dikhuatiri boleh mengganggu siasatan.
– BERITA HARIAN –