Alamak, tertekan minyak pulak…

DUA orang termasuk seorang pengawal keselamatan cedera selepas kereta Proton Iriz terbabas lalu merempuh bangunan bank di Jalan Kenanga 29/4, Taman Indahpura, di Kulai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kejadian pada 10.12 pagi itu berlaku apabila kereta dipandu wanita berusia 78 tahun hilang kawalan akibat tersalah menekan pedal minyak ketika mahu memarkir kereta.


Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu wanita berkenaan.

“Wanita berkenaan tertekan pedal minyak ketika ingin parkir kereta di kawasan berhampiran menyebabkan keretanya meluru laju dan melanggar cermin pintu bangunan bank berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, dua mangsa cedera dan menerima rawatan di Hospital Kulai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan pengawal keselamatan lelaki luka di kaki kiri dan terpaksa menerima beberapa jahitan.

“Seorang wanita yang juga orang awam luka di tangan dan kedua-duanya menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kejadian akibat rempuhan itu.

“Kenderaannya hanya mengalami kerosakan pada bahagian depan, bonet, pintu kiri dan kanan, tayar, rim dan cermin besar.

“Manakala premis bank mengalami kerosakan pada cermin pintu, perabot dan dinding luar,” katanya.
Katanya, saman belum dikeluarkan kepada pemandu terbabit dan kes masih dalam siasatan.

– HARIAN METRO – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.