‘Adib mungkin hilang ingatan’

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini yang beliau dimaklumkan seorang pakar di Institut Jantung Negera (IJN), Muhammad Adib Mohd Kassim, kemungkinan hilang ingatan.

Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Subang Jaya, Asisten Superintendan Lew Keng Joe, berkata Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorosik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib, memberitahunya perkara itu, ketika beliau melawat Muhammad Adib bagi tujuan untuk bertanya soalan kepada anggota bomba itu pada jam 8.45 pagi, 12 Disember 2018.

Beliau berkata, Dr Mohamed Ezani memberitahu perkara itu selepas Muhammad Adib enggan menjawab soalannya berhubung kecederaan dirinya sama ada dipukul atau dilanggar.



“Sebelum itu, saya kenalkan diri kepada Muhammad Adib di depan Dr Mohamed Ezani manakala dia (Muhammad Adib) dalam keadaan sedar tetapi tidak boleh bercakap kerana ada hos di dalam mulutnya.

“Dia dalam keadaan bergerak kiri ke kanan (badan), saya tidak tahu sama ada gerakan itu kerana sakit atau tidak tetapi dia tak boleh bercakap.

“Adib tak dapat jawab tetapi tangan dia bergerak kiri kanan dan masa itu dia dalam beremosi dan tangan kiri cuba tarik hos tetapi jururawat halang,” katanya ketika memberi keterangan di hari ke-21 prosiding inkues yang diadakan bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib.

Saksi ke-28 itu berkata, Dr Mohamed Ezani kemudian memberitahu anggota bomba itu mungkin hilang ingatan kerana mengalami tekanan darah rendah.



Katanya, sebelum keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN, pakar itu turut memaklumkan yang beliau pernah bertanyakan soalan sama kepada Muhammad Adib tetapi mangsa enggan menjawab.

Dalam prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad, Keng Joe berkata selepas Muhammad Adib meninggal dunia pada jam 9.41 malam, 17 Disember 2018, dia terus pergi ke IJN.

Katanya, setibanya di ICU, beberapa pegawai bomba yang tidak memakai uniform menghampirinya dan memaklumkan mayat Muhamamd Adib tidak perlu dibedah siasat.

Beliau berkata, pegawai bomba terbabit turut memaklumkan punca kematian Muhammad Adib akan disahkan oleh Dr Mohamed Ezani.

“Saya kemudian menghubungi OCPD (Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari) dan dia arahkan bedah siasat terhadap Muhammad Adib perlu dijalankan,” katanya.

– BERITA HARIAN –



(Visited 26 times, 1 visits today)