‘Adib dilanggar, bukan dipukul’

 'Adib dilanggar, bukan dipukul'

SUBANG – Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa kecederaan yang dialami anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam insiden kekecohan itu adalah disebabkan oleh kemalangan jalan raya.

Setiausahanya, VK Regu berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila jentera milik JBPM cuba untuk mengundurkan kenderaannya sebelum melanggar mangsa terlibat.

“Apabila JBPM cuba untuk ke depan, terdapat kenderaan yang terbakar dan mereka terus mengundurkan jentera kerana bimbang berlaku letupan.

“Tanpa disedari terdapat anggota di belakang kenderaan itu dan jentera itu telah melanggar mangsa berkenaan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Dalam kejadian awal pagi Selasa, mangsa berkenaan, Muhammad Adib Mohd Kassim dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.

Ekoran daripada insiden itu, Muhammad Adib mengalami kecederaan serius dan ditempatkan di Subang Jaya Medical Center (SJMC) sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) semalam.

Mengulas lanjut, Regu berkata, orang ramai yang berada di lokasi kejadian pada waktu itu cuba untuk membantu mangsa dan bukannya bertindak agresif dengan memukul anggota terbabit seperti dilaporkan media.

“Selepas jentera melanggar anggota itu, orang ramai cuba untuk menyelamatkannya dan mengangkat mangsa ke dalam ambulans.

“Mereka bukannya bertindak untuk memukul seperti apa yang dilaporkan sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Regu berkata, pihaknya mempunyai rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan orang ramai sedang cuba menyelematkan mangsa terlibat dan bukannya bertindak agresif kepada pihak berkenaan.

Tambah Regu, tiada keperluan buat pihaknya untuk membuat laporan polis dan badan bertindak kuil akan menyerahkan bukti rakaman video itu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selepas ini.

“Kami baru dapat bukti hari ini dan tiada keperluan untuk buat laporan polis. Kami akan serahkan bukti kepada KPKT,” katanya.

– SINAR HARIAN – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.