“Ada duit belanja atau tidak?” tanya Arwah Adib kepada Ayah

SHAH ALAM -*[DIKEMASKINI] *Biarpun diri sendiri sedang terlantar kesakitan, anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tetap mengutamakan keluarganya.

Bapanya, Mohd Kassim Ab Rahim berkata, dalam tempoh keadaan anaknya sedar dari koma, Muhammad Adib bertanyakan mengenai perbelanjaan keluarga, ibu dan adik beradik yang lain.

“Arwah tanya khabar ibunya dan tanya ada belanja (wang) atau tidak,” katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini.

Menurutnya, pada hari kedua Muhammad Adib sedar, Ketua Balai Bomba USJ Syed Sharil Anuar Syed Sulaiman meminta izin untuk bertanyakan soalan kepada anaknya.



“Arwah berada dalam keadaan baik dalam tempoh lima hari. Tetapi pada hari kedua, pegawai bomba datang minta izin untuk bertanyakan soalan kepadanya.

“Saya izinkan. Tetapi saya tidak tahu apa soalan yang ditanyakan kepada arwah,” katanya.

Menurutnya, dia dan isterinya tidak pernah menanyakan mengenai insiden rusuhan kepada Muhammad Adib.

“Soalan-soalan begitu saya tidak pernah tanya sebab saya tahu dia trauma,” katanya menjawab pemeriksaan balas oleh peguam keluarga, Ahmad Taufiq Baharum.

Ahmad Taufiq: Pada kali pertama kamu melihat mangsa di Pusat Perubatan
Subang Jaya (SJMC), bagaimana keadaan dia?

Saksi: Dia kritikal, lebam di badan dan tidak sedarkan diri.



Ahmad Taufiq: Bahagian mana paling teruk?

Saksi: Keseluruhan badannya bengkak. Muka pun tidak nampak seperti asal.

Ahmad Taufiq: Selepas melihat keadaannya semakin baik dan normal, adakah kamu rasa dia makin pulih?

Saksi: Iya. Kita sebagai mak dan ayah berasa lega. Kami harap dia lebih baik daripada hari itu.

Ahmad Taufiq: Bagaimana dengan arwah sendiri?

Saksi: Keadaan sakit teruk, dia pernah tulis di papan putih meminta pulang berubat di kampung.

Saya beri keyakinan kepadanya tidak boleh berubat di kampung kerana IJN ini tempat yang baik, doktor yang baik. Dia dapat terima.

Menurutnya, sepanjang beliau dan keluarganya berada di IJN menemani anaknya, ada jururawat datang memberitahu Muhammad Adib meracau.



“Waktu itu sekitar tiga atau empat pagi, jururawat beritahu arwah meracau dan saya masuk untuk menenangkannya… Alhamdulillah dia tenang selepas itu,” katanya menjawab soalan pemeriksaan balas oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Syazlin Mansor.

Syazlin: Semasa dirawat di IJN, apa kecederaan yang kamu lihat pada Muhammad Adib.

Saksi: Yang paling ketara pada sebelah bahagian kanan badan iaitu dada sehingga tulang rusuk. Kelihatan lebam sehingga hitam. Saya selalu usap kepalanya dan mendapati ada benjolan serta luka yang sudah kering pada bahagian belakang kepala.

Tangan kanan kelihatan bengkak sebesar jari. Jari tangan ada calar,betis ada kesan lebam.

Katanya, pada hari kedua anaknya sedar, seorang pegawai perubatan iaitudoktor Izani memanggilnya untuk bergambar dengan Muhammad Adib.

“Doktor Izani beritahu arwah, kita bergambar hari ini untuk tunjukkan Adib sihat.

“Semua buat isyarat bagus. Adib nampak sihat,” katanya.

– SINAR HARIAN –