83 peratus kes jenayah yang tular berjaya diselesaikan

GEORGETOWN – Sebanyak 83 peratus daripada kes jenayah yang berlaku di negara dan ditular dalam laman sosial media pada tahun ini telah diselesaikan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, bermula Januari sehingga penghujung Mei lalu, PDRM mengenal pasti 35 rakaman video berkaitan jenayah yang berlaku di seluruh negara.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 29 kes telah berjaya diselesaikan manakala enam lagi masih dalam siasatan.



“Sebanyak 29 kes bersamaan 83 peratus telah diselesaikan antaranya berkaitan kes mendatangkan kecederaan, pemerasan, khianat, samun, cubaan bunuh dan bunuh.

“Daripada jumlah kes itu, 27 orang telah ditahan dan 25 daripadanya dituduh di mahkamah manakala dua lagi sedang dalam siasatan. Polis sentiasa memantau video yang merakamkan kejadian jenayah yang berlaku di seluruh negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Huzir berkata, kejayaan itu merupakan kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat dan petunjuk untuk polis mengambil tindakan.

“Terima kasih kepada lapisan masyarakat yang banyak menyalurkan maklumat kepada polis yang membolehkan kita mengambil tindakan. Kita mengalu-alukan kerjasama dari orang awam agar sentiasa menyalurkan maklumat.



“Orang awam yang mempunyai video atau maklumat jenayah boleh menyalurkannya sama ada melalui Facebook, Twitter atau WhatsApp PDRM Viral Video di talian 0193019930,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan warganet yang kerap berkongsi video tular berhubung kes lama, Huzir berkata, ia sengaja dilakukan dengan tujuan untuk memburukkan imej PDRM.

“Ada beberapa video yang tular beberapa tahun lalu telah ditular semula, kononnya kes itu kes baharu. Ada juga kejadian bukan di Malaysia, tetapi dikatakan berlaku di negara ini. Ia sebenarnya sengaja ditular semula.

“Mereka sengaja buat dengan niat untuk memburukkan imej dan memberi persepsi negatif kepada PDRM,” katanya.

– SINAR HARIAN –