69 Komando mahu terus unggul [ 6 GAMBAR ]

SEJARAH menceritakan segala-galanya tentang jasa dan pengorbanan anggota tentera, polis atau sesiapa sahaja kepada keselamatan negara. Malah, sejarah turut menjadikan sesebuah organisasi berusaha menjadi yang terbaik.

Perkara ini turut berlaku kepada pasukan yang mendapat julukan ‘Special Air Service’ (SAS) Malaysia, 69 Komando yang merupakan unit khas di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).



 

Unit yang menerima didikan daripada SAS United Kingdom (UK) selepas penubuhannya itu berjaya mencatatkan pelbagai kejayaan dalam operasi. Antara operasi yang paling diingati dalam tempoh beberapa tahun lalu adalah Ops Subuh di Bukit Jenalik, Sauk, Perak dan Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dengan identiti beret kelabu pasir dan lambang kerambit, pasukan yang berpangkalan di Hulu Kinta, Perak ini turut menjadi pasukan yang menggalas tanggungjawab dalam operasi penting membanteras jenayah.

 

Selepas lebih 50 tahun dan tiada lagi ancaman komunis, unit ini sebenarnya masih relevan bagi menangani ancaman lain seperti ‘counter terrorism’ dan jenayah dalam bandar menerusi kerjasama unit dan agensi lain.

Sehubungan itu, bagi memantapkan unit ini, Komandernya, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Razak Mohd. Yusoff berkata, pihaknya telah menilai semula beberapa aspek kemahiran serta latihan di samping modul kursus asas komando.

Menurutnya, ini termasuk kemahiran yang dimiliki oleh anggota di setiap skuadron dalam unit itu seperti kemahiran payung terjun, penyusupan udara, selam tempur dan rondaan kumpulan kecil (RKK).
“Kita mahu melihat semula kaedah di mana kemungkinan skuadron yang mempunyai kemahiran sama akan kita juruskan kepada kemahiran tertentu pula seperti ‘waterborne’ (selam tempur) atau payung terjun.

“Ini bermakna setiap skuadron ada kepakaran masing-masing. Walau bagaimanapun, kemahiran ‘counter terrorism’ akan kita wajibkan dalam semua skuadron,” katanya ketika ditemui Mega Wira baru-baru ini.

 

Abdul Razak berkata, unit tersebut juga akan menilai semula modul kursus asas 69 Komando supaya dapat menampung jumlah anggota yang telah bersara dan berhenti setakat ini.
“Tidak ramai yang lulus dalam ‘basic’ komando dan kita memerlukan anggota bagi mengisi kekosongan tersebut. Kadang-kadang daripada beratus-ratus yang ikut (kursus asas komando), yang lulus hanya sembilan orang.

“Sebab itu kita akan melihat semula modul kursus tersebut. Kita tidak mahu berkompromi dalam aspek standard dan kualiti anggota yang lulus kerana bakal menggalas tanggungjawab besar selepas diserapkan ke unit ini nanti,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Razak berkata, anggota 69 Komando sehingga kini masih menjalani latihan bersama pasukan khas lain seperti Grup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Pasukan Khas Udara (Paskau).
“Sejak dahulu lagi kita hantar anggota ke Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Kem Sungai Udang, Melaka mempelajari kemahiran di sana dan hanya sebahagian latihan dilakukan di Hulu Kinta.

“Sebagai contoh, latihan lanjutan payung terjun dibuat di Pulpak kerana kita tidak melatih anggota dalam kursus skala besar dan perlukan mungkin dua orang sahaja ‘jump master’ atau ‘rigger’ (pelipat payung terjun ),” ujarnya.

 

Terbaru, dua anggota 69 Komando berjaya meraih anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik yang diberikan kepada Lans Koperal Mohammad Rahmad Lantong manakala Penuntut Akademik Terbaik dianugerahkan kepada Lans Koperal M. Pragash
Mereka antara 20 peserta yang mengikuti Kursus Pelipat ‘Parachute’ Siri PLP 2/18 anjuran Cawangan Rigger Pulpak.
69 Komando terus menjalankan proses pemodenan dan peningkatan dari segi anggota serta aset sebagai langkah persediaan menghadapi ancaman baharu masa kini.
– Utusan Online –

 

 

 

 

 

 



Leave a Reply

Your email address will not be published.