6 anggota bomba yang terkorban diiktibarkan sebagai syahid – Mufti

KUALA LUMPUR: Enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terkorban mati lemas kerana menyelamatkan mangsa diiktibarkan sebagai syahid.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, berita kematian keenam-enam anggota berkenaan sangat menginsafkan dan memberi makna yang mendalam pada maksud pengorbanan dalam tugas.
Beliau berkata berasaskan kepada nas hadis Riwayat al-Bukhari bermaksud orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.
“Rakan kita ini, mereka jauh lebih mulia kerana bukan sahaja mereka mati lemas, tetapi menolong dan membantu mangsa sehingga terkorban.
“Mereka adalah insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, terutamanya dalam kecemasan hingga kepada nafas dan denyut nadi yang terakhir.
“Inilah syuhada’ kita. Semoga Allah menempatkan mereka bersama para nabi, al-siddiqin dan syuhada’. Amin,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik pada Facebooknya.
Dr Zulkifli turut meminta agar rakyat Malaysia menghulurkan bantuan kepada kaum keluarga untuk meringankan beban dan meneruskan kehidupan sekalipun diuji perpisahan orang tercinta.
Beliau berkata, semua mereka wajar diberikan anugerah kecemerlangan dan dinaikkan pangkat untuk memberi sedikit kelegaan kepada ahli keluarga.
“Syabas Bomba Malaysia dan juga kepada mereka yang bertindak seperti syuhada’ kami ini.
“Kepada ahli keluarga, bertabahlah. Insha Allah setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah yang kadang-kadang amat sukar ditafsirkannya dengan berharap kepada Allah SWT, berdoalah dengan kesabaran yang tinggi, Insha Allah akan datang bantuan daripada-Nya,” katanya.
Semalam, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lemas ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, selepas terbelit tali, akibat arus deras, yang datang tiba-tiba.
Keenam-enam anggota bomba berkenaan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang berada di lokasi ketika operasi menyelamat diadakan.
– BH – 

Leave a Reply

Your email address will not be published.