5 DIDAKWA AKIBAT LAPORAN POLIS PALSU

KULAI: Lima termasuk dua wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan membuat laporan polis palsu mendakwa disamun dan diragut.

Tertuduh, Lam Jun Hua, 23; C Rajeswary, 27; Anchai Panting, 28; Mohd Iman Zikri Abdullah, 20 dan C Thilagam, 32, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 masing-masing kepada Jun Hua, Anchai dan Mohd Iman Zikri, manakala Rajeswary dan Thilagam dihukum denda RM1,500 setiap seorang.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kelima-lima tertuduh membuat laporan polis secara berasingan di Balai Polis Senai dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, di sini antara 19 Februari hingga 2 Mac lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Farhana Adham, manakala tertuduh diwakili peguam Harryzan Abdullah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

– BERITA HARIAN –

Leave a Reply

Your email address will not be published.