3 polis cedera kereta dirempuh

KENINGAU: Tiga anggota polis termasuk seorang pegawai terbabit dalam kemalangan selepas Proton Preve dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 10 Jalan Keningau-Tenom, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Inspektor Ho Shiau Wui, 38; Sub Inspektor Noh Riung, 56, dan Koperal Alexius Sapikit, 42, masing-masing cedera di kaki, kepala dan tangan.
Seorang lagi wanita berusia 42 tahun yang juga pemandu Proton Iswara cedera ringan di kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata siasatan mendapati kenderaan yang dinaiki polis dalam perjalanan dari arah Keningau menuju ke Tenom, manakala Proton Iswara dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan mendapati sebaik tiba di lokasi iaitu di kawasan berselekoh, kenderaan yang dipandu wanita terbabit masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Preve.
“Akibat kejadian itu, Proton Iswara termasuk ke dalam parit. Semua mangsa cedera dan dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut,” katanya.
Shahrudin berkata, siasatan lanjut mendapati kemalangan disebabkan kecuaian pemandu Proton Iswara.
Katanya lagi, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
– BERITA HARIAN – 

One thought on “3 polis cedera kereta dirempuh

Leave a Reply

Your email address will not be published.