Cyberjaya – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Ketiga-tiga suspek yang bertugas MBSA cawangan Sungai Buloh itu disyaki menerima suapan bagi melindungi kegiatan premis perniagaan haram.
Penguat kuasa berusia antara 41 hingga 49 tahun itu turut disyaki mengutip dan menerima rasuah secara bulanan.
Suspek ditahan dalam satu operasi khas SPRM ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, jam 9 pagi tadi.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
SPRM turut menahan peniaga rokok seludup berbangsa Aceh seperti yang diceritakan dalam video tersebut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan dan akan diserahkan kepada pihak Imigresen bagi tindakan lanjut.
Menurut sumber, peniaga ini telah beroperasi sejak tahun 2019. Beliau dikatakan membayar wang rasuah sebanyak RM300.00 sebulan kepada penguatkuasa bagi mengelakkan sebarang tindakan.
Sumber – Suara.tv