3 ditahan, 15kg dadah dirampas di Butterworth

BUTTERWORTH: Lebih 15 kilogram (kg) heroin dan syabu dirampas sementara tiga lelaki ditahan dalam serbuan Pasukan Khas Tektikal Perisikan Narkotik (STING) di sebuah rumah di sini malam tadi.

Turut dirampas dalam serbuan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang kira-kira pukul 9 malam itu ialah enam pucuk pistol, selaras raifal dan sejumlah peluru hidup.

Susulan serbuan itu, STING menahan 14 individu lain termasuk rakyat Vietnam, Singapura dan Thailand di sekitar negeri ini dan Kedah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada pasukan STING atas kejayaan itu.

“Syabas STING dn JSJN Pg @PDRMsia berjaya tangkap tiga orang di Penang, rampas lebih 10 kg Heroin, 5 kg Syabu, 6 pistol dan 1 rifle.
Go PDRM Go.

“Syabas lagi STING @PDRMsia, lanjutan tangkapan di Penang awal pagi tadi, tangkap 14 orang lagi warga Vietnam, Singapore, Thailand, dan Malaysia. Go PDRM Go,” katanya menerusi laman Twitter.

Sementara itu sumber polis berkata seorang rakyat Thailand adalah antara tiga lelaki yang ditahan dalam serbuan di sini.

Semua mereka berusia antara 30 hingga 57 tahun. Sumber itu berkata, hasil pemeriksaan dalam rumah berkenaan, pihak polis menemui lima kilogram syabu, 10 kilogram heroin, tiga kilogram asas heroin dan 120 gram pil WY.

Katanya, hasil pemeriksaan dalam sebuah kereta milik warga Thailand terbabit, polis menemui 26,200 pil Eramin 5. – BERNAMA

3 ditahan, 15kg dadah dirampas di Butterworth

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/71380

Leave a Reply

Your email address will not be published.