2 pegawai SPRM didakwa minta rasuah RM40,000

JOHOR BAHRU: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ini didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan menipu seorang penguatkuasa untuk menyerahkan RM40,000, bagi menyelesaikan kesnya yang disiasat agensi berkenaan, Khamis lalu.

Tertuduh pertama, Penolong Penguasa P29 SPRM Kluang, Amir Izham Shahak, 32, mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.


Tertuduh kedua, Penguasa P42 SPRM Johor Bahru, Wan Kamarul Zaim Wan Mansor, 34, pula, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama sebagai ejen kerajaan iaitu Penolong Penguasa P29 SPRM Kluang dan Penguasa P42 di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Cawangan Kluang dan SPRM Johor Bahru, bagi mencapai niat bersama menipu dengan memperdayakan seorang individu.

Ia bagi membolehkan kedua tertuduh itu dengan curangnya mendorong individu berkenaan untuk menghantar harta iaitu wang tunai RM40,000 kepada mereka, kononnya kedua boleh membantu menyelesaikan kes disiasat SPRM terhadap individu berkenaan.

Kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di sebuah kedai makan di Jalan Benut, Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam, kira-kira jam 7.57 malam, 14 Oktober lalu.


Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala Amir Izham diwakili Mohd Salleh Togimin dan Wan Kamarul Zaim pula diwakili Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM35,000 terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin manakala pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Mohd Azlan Shah yang mewakili Wan Kamarul Zaim, memohon mahkamah memberikan jaminan RM10,000 kepada tertuduh berikutan dia perlu menanggung isteri yang hamil tiga bulan serta empat anaknya.

“Tertuduh masih berkhidmat dengan SPRM sejak 12 tahun lalu dan hanya mampu membayar RM10,000 jaminan hari ini,” katanya.


Hakim kemudian memerintahkan Wan Kamarul Zaim dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan 24 November depan bagi pengurusan kes.

Peguam tertuduh pertama, Mohd Salleh Togimin turut memohon mahkamah supaya keputusan kes Amir Izham, yang masih berkhidmat dengan SPRM sejak tujuh tahun, ditangguhkan ke tarikh lain.

Mahkamah kemudian memutuskan keputusan kes tertuduh pertama disebut pada 24 November ini. Amir Izham turut dibenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserah pada mahkamah.

– Berita Harian –


(Visited 429 times, 1 visits today)