JOHOR BAHRU: Dua pegawai Jabatan Imigresen Johor bersama tiga yang lain dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) pada Jun lalu.
Noryati Abu Bakar, 50, dan Haris Fadzilah Abu Bakar, 48, masing-masing berjawatan Penolong Pengarah Imigresen dan Pegawai Imigresen Kanan didakwa atas lapan pertuduhan.
Mereka dituduh bersama buruh binaan, M Amir Nasir, 61, menyeludup lapan migran warga Indonesia pada jam 12 tengah hari, 15 Jun lalu di Lot 21, Jalan Feri, Pelabuhan Pasir Gudang.
Dua yang lain, iaitu ejen tiket feri, Tengku Jajang Sagita Tengku Redzuan, 54, berhadapan dua pertuduhan, manakala pengawal keselamatan Terminal Feri Pasir Gudang, Razali Mohamad, 55, didakwa atas satu pertuduhan bagi kesalahan sama di lokasi, masa dan hari yang sama.
Semua lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum mengikut akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Kelima-lima tertuduh didakwa di lima mahkamah berasingan, masing-masing di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun, Faiz Dziyauddin, V Mabel Sheela, Wan Mohd Norisham Wan Yaacob dan Aizatul Akmal Maharani.
Mereka mengangguk faham selepas semua pertuduhan dibacakan, tetapi tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abd Kadir, Nor Azizah Mohamad dan Nur Baiduri Mustakim.
Noryati diwakili peguam, Zaid Malek; Haris Fadzilah oleh Hairul Nadiah Hasni dan M Amir diwakili Izzat Muhtar, manakala Tengku Jajang Sagita diwakili peguam, Mohamad Isa Mohammad Basir dan Razali diwakili Munirah Najihah Saari.
Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin sebelum menetapkan 23 Julai ini untuk sebutan semula.
– BERITA HARIAN –