16 individu termasuk dalang Macau Scam diberkas polis

SHAH ALAM – Polis Selangor menahan 16 individu termasuk dalang sindiket Macau Scam dalam serbuan berasingan ke atas dua unit pangsapuri sekitar Serdang dan Kuala Lumpur pada 29 April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan anggota dari Bahagian dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Balai Polis Daerah Serdang melakukan serbuan pertama sekitar jam 3.00 petang di satu unit pangsapuri di Taman Serdang Perdana.

Menurutnya, dalam serbuan itu lima lelaki serta dua wanita warga tempatan ditahan.



“Berdasarkan siasatan awal mendapati, salah seorang daripadanya lelaki berusia 31 adalah dalang sindiket dan sedang menunggu perbicaraan mahkamah atas kes sama.

“Suspek 31 tahun itu ditahan kali pertama pada tahun lalu. Sementara enam lagi suspek disyaki bekerja sebagai operator telefon bagi kegiatan penipuan sindiket itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Fazlisyam berkata, susulan serbuan pertama polis menggerakkan satu lagi serbuan di sebuah unit pangsapuri di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur pada hari yang sama.



“Dalam serbuan itu, tujuh lelaki dan dua wanita warga tempatan ditahan kerana disyaki bekerja sebagai operator telefon kepada sindiket.

“Polis juga merampas sembilan unit telefon pintar, dua komputer riba, dua router dan 23 skrip panggilan telefon yang digunakan oleh sindiket untuk menyamar sebagai pegawai bank bagi menipu mangsa,” katanya.

Fazlisyam berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan baharu berpindah di kedua-dua lokasi itu sebelum serbuan dibuat.

“Mereka baru beroperasi sehari di lokasi itu dan lokasi pertama serbuan kelengkapan operasi seperti komputer masih belum di pasang sementara lokasi ke dua baru sahaja beroperasi.

“Polis percaya, sindiket ini berpindah randah dan tidak menetap lama di satu lokasi bagi mengelak kegiatan mereka dikesan polis,” katanya.



Fazlisyam memberitahu, semua suspek berusia antara 16 dan 31 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 420 serta Seksyen 424 Kanun Keseksaan, dan soal siasat ke atas suspek berumur 16 tahun itu mendapati gadis berkenaan tidak lagi bersekolah.

“Modus operandi sindiket penipuan itu untuk merekrut pekerja adalah dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai operator khidmat pelanggan bergaji sekitar RM2,500 hingga RM3,000 serta pelbagai kemudahan lain di laman sosial.

“Operator ini akan dilatih dengan skrip yang dibekalkan sindiket mengenai cara-cara untuk menipu mangsa menerusi telefon. Siasatan awal juga mendapati sindiket berkenaan terlibat dengan 11 kes penipuan di Selangor mencecah kerugian lebih RM900,000,” katanya.

Fazlisyam menambah, dengan tertangkapnya semua suspek polis yakin dapat menyelesaikan 49 kes penipuan Macau Scam di seluruh negara termasuk 11 kes di negeri ini.

– SINAR HARIAN –