KUALA LUMPUR: Seramai 13 individu ditahan dalam operasi bersepadu tujuh jam mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Afrika di beberapa kawasan tumpuan mereka di sekitar ibu kota.
Dalam operasi dari jam 11 malam Jumaat hingga 6 pagi semalam, lokasi diperiksa termasuk Jalan Changkat, Bukit Bintang; Kondominium Arena Green, Bukit Jalil; Jalan Sepadu off Jalan Klang Lama; Taman OUG, Brickfields; Taman Len Seng, Cheras; dan Metro Prima, Kepong.
“Warga Afrika yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita Nigeria, dua lelaki Sudan, masing-masing seorang lelaki dan wanita Guinea, serta seorang lelaki Tanzania.
“Selain itu, tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Nepal turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mazlan berkata, operasi itu membabitkan 99 pegawai kanan dan anggota Polis Kuala Lumpur dengan kerjasama lapan pegawai serta anggota Jabatan Imigresen Malaysia.
“Tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah, serta akta berkaitan.
“Tangkapan dibawa ke Lokap Cheras dan Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius terhadap isu kebanjiran warga Afrika dan akan meneruskan operasi seumpama itu bagi membanteras permasalahan berkenaan yang turut menyumbang ke arah kejadian jenayah.
Katanya, orang ramai yang ada sebarang maklumat, boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur melalui talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
– Berita Harian –